HF FT Liga Super Cover Kelantan Home

Liga Super 2017: Johor DT 3 Kelantan 0, Kemenangan Yang Memeriahkan Lagi Sambutan Kejuaraan Liga

Perlawanan Liga Super bersambung malam ini setealah memberi ruang untuk perlawanan Piala Malaysia. Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah pun dinobatkan selaku juara Liga Super buat kali keempat berturut-turut turun bagi melengkapkan jadual menentang pasukan Kelantan. Walaupun telah dinobatkan selaku juara, JDT turun dengan misi melebarkan rekod tanpa kalah di Stadium Larkin kepada 55 perlawanan.

Pasukan Kelantan pula berkunjung ke Larkin ingin mencari kemenangan bagi mencerahkan peluang mereka untuk terus kekal di Liga Super untuk musim hadapan. Hadir bersama presiden baru mereka Puan Bibi Ramjani, Zahasmi Ismail menurunkan formasi 4-4-2 dengan menggandingkan Abou Bakr dan Allesandro Ceilin untuk menggempur gawamg JDT.

[AdSense-B]

Ulisess Morais pula seperti biasa menggunakan formasi 4-3-3 dengan satu pertukaran dilakukan Morais berbanding skuad menentang Melaka tempoh hari. Gary Steven Robart diberi kepercayaan mengambil tempat Afiq Fazail selaku “pivot” dan digandingkan bersama Safiq Rahim dan Natxo Insa untuk menggerakkan jentera tengah.

Separuh Masa Pertama

jdt vs kelantan

JDT memulakan perlawanan di separuh pertama dengan agak berhati-hati. Cuba melakukan “build up’ dari bawah dengan melakukan hantaran-hantaran pendek. Natxo Insa berjaya melakukan percubaan pertama buat JDT pada minit ke-3 namun sepakannya melambung tinggi.

Kelantan memperolehi 3 sepakan penjuru di awal permainan namun sepakan yang diambil Indra Putra Mahyudin mudah dikeluarkan pertahanan  JDT.

JDT memperolehi sepakan penalti pada minit ke-10 setelah hantaran Gonzalo Cabrerra yang cuba diselamatkan Qayyum terkena tangannya. Sepakan yang diambil oleh bekas pemain Kelantan Mohamad Ghaddar berjaya ditampan keluar Khairul Fahmi Che Mat.

JDT yang tidak berputus asa dengan kegagalan sepakan penalti tersebut terus mengawal permainan dan cuba melakukan beberapa siri serangan. Pertahanan pasukan Kelantan berjaya mengekalkan disiplin dalam bertahan untuk mengagalkan serangan pasukan JDT dalam 15 minit pertama perlawanan.

Pada minit ke-18 JDT memperolehi sepakan percuma diluar kotak penalti setelah Gonzalo Cabrerra yang telah melepasi Daudsu Jamaludin dijatuhkan Indra Putra Mahyudin. “Set piece” yang menarik dilakukan JDT apabila Safiq Rahim hanya melorongkan bola disebelah kanan kepada S. Kunalan yang kemudiannya melakukan satu sepakan ‘lob’ yang menarik ke arah pintu gol menewaskan Khairul Fahmi untuk gol pertama JDT pada minit ke 19.

Natxo Insa memperolehi peluang untuk menjaringkan gol kedua buat JDT pada minit ke-22 namun tandukannya yang menerima hantaran daripada Safiq Rahim sedikit tinggi melewati palang gol. Pada minit ke-25, giliran Gabriel Guerra membuat percubaan ke arah “far post”. Walaubagaimanapun sepakan tersebut sedikit tersasar.

[AdSense-B]

JDT sekali lagi mempunyai peluang pada minit ke-28, giliran Fazly Mazlan pula melakukan percubaan. Fazly yang menerima lorongan Natxo Insa merembat namun tersasar.

Kelantan memperolehi sepakan percuma pada minit ke-29. Sepakan yang cuba disudahkan Ceilin mengenai palang gol. Walaubagaimanapun beliau telah disahkan offside sebelum itu oleh penjaga garisan. Kelantan cuba menggunakan hantaran-hantaran jauh untuk menewaskan pertahanan JDT namun hantan-hantaran mereka kurang tepat dan mudah dirampas pertahanan lawan.

Minit ke-37 menyaksikan Gonzalo Cabrerra menjaringkan gol kedua buat JDT. Gol terhasil melalui hantaran-hantaran pendek yang menarik diantara Ghaddar dan Guerra yan seterusnya melakukan hantaran leret ke bahagian tengah yang mudah disambar Cabrerra untuk gol kedua JDT.

Pemain pertahanan kanan Kelantan, Qayyum dilayangkan kad kuning pada minit ke-39 selepas melakukan terjahan keras ke atas Safiq Rahim. JDT terus melakukan serangan demi serangan dari bahagian tengah. Guerra sekali lagi mempunyai peluang pada minit ke-42 apabila melakukan rembatan leret namun terus kedakapan Khairul Fahmi.

[AdSense-B]

Tambahan masa 2 minit yang diberikan pengadil perlawanan gagal digunakan kedua-dua pasukan untuk menghasilkan tambahan gol. Perlawanan separuh masa pertama berakhir dengan pasukan tuan rumah mendahului pasukan pelawat 2-0.

Separuh Masa Kedua

Separuh masa kedua dimulakan dengan kedua-dua pasukan  tidak melakukan sebarang pertukaran. S. Kunalan menunjukkan kesunggahan beliau dan hampir menambah gol buat JDT pada minit ke-48 apabila beliau berjaya menghadang Khairul Fahmi melakukan “clearance” namun tampananya melewati palang gol.

Minit ke-50 menyaksikan Ghaddar sekali lagi mempunyai peluang apabila menerima lorongan menarik dari Safiq Rahim. Walaubagaimanapun rembatannya tinggi melewati palang gol.

Kelantan melakukan pertukaran pertukaran pemain pertama dengan memasukkan Badhri Radzi bagi menggantikan S. Thinagaran pada minit ke-51. Kemasukan Badhri begi menambahkan kekuatan di bahagian tengah pasukan Kleantan untuk menjana serangan.

Pada minit ke-52, penyerang dari Lubnan, Abou Bakr mempunyai peluang namun rembatannya hanya menggegar sisi jaring. Guerra berjaya menjaringkan gol ketiga buat JDT apabila beliau menanduk masuk hantaran lintang S. Kunalan. Gol tersebut tidak disahkan pengadil kerana Guerra berad dalam posisi offside.

Gol ketiga sebenar hadir pada minit ke-56 selepas JDT mempunyai sepakan percuma. Sepakan yang diambil Safiq Rahim terus menerjah jaring setelah Khairul Fahmi gagal menyelamatkan sepakan tersebut.

JDT terus menggandakan serangan untuk melengkapkan kemenangan pada malam ini. Ghaddar sela;i lagi mempunyai peluang pada minit ke-60 namun rembatannya tepat ke arah penjaga gawang.

JDT melakukan pertukaran pertama pada minit ke-62 dengan memasukkan Haziq Nazli menggantikan Izham Tarmizi selaku penjaga gawang. Kemasukan Haziq terus diuji pemain Kelantan namun beliau berjaya menyelamatkan percubaan pada minit ke-63.

[AdSense-B]

Gabriel Guerra dikeluarkan pada minit ke-65 dan digantikan oleh Safawi Rasid untuk bermain disebelah kanan. Gonzalo Cabrerra dilayangkan kad kuning pada minit ke-67 setelah menjatuhkan Norfarhan Mohammad yang terlebih dulu dimasukkan menggantikan Ceilin. Pertukaran terakhir buat JDT pada minit ke-70 dilakukan Morais dengan memasukkan Aidil Zafuan bagi menggantikan Fadhli Shas yang cedera.

Natxo Insa melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-74 namun Khairul Fahmi berjaya menampan keluar bola tersebut.

Kemasukkan Badhri Razi dan Norfarhan Mohammad gagal memberi impak buat pasukan Kelantan. Bahagian tengah padang masih dikuasai JDT yang sentiasa menjana serangan. Berbaki 15 minit perlawanan, JDT mula mengendurkan permainan.

Natxo Insa sekali lagi mempunyai peluang apabila gerakan beliau bersama Safiq Rahim dan Cabrerra disudahkan Natxo melalui rembatan yang sedikit tersasar pada minit ke-83. Minit ke-88 menyaksikan pemain gantian JDT melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti namun ianya tersasar.

Kelantan melakukan pertukaran terakhir dengan mengeluarkan Daudsu Jmaludin dam memasukkan Hanathapon pada mint ke-89. Tiga minit tambahan masa diberikan pengadil dipenghujung perlawanan, Cabrerra mempunyai peluang terakhir buat JDT menambah gol namun sepakannya sekali lagi tersasar.

[AdSense-B]

Perlawanan berakhir dengan JDT mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Kelantan sebelum mereka dianugerahkan Trofi Liga Super selaku juara walaupun liga masih berbaki 2 perlawanan.

Majlis penyampaian trofi disempurnakan sejurus tamat perlawanan untuk JDT yang disahkan selaku Juara Liga Super buat kali ke-4 berturut-turut. Malam gemilang buat JDT diteruskan dengan sambutan bersama penyokong di Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Baca juga: Liga Super: Rekod Tanpa Kalah JDT Di Stadium Larkin

 

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: