Marcote Kedah Jdt

Marcote: Menentang JDT Bukan Misi Balas Dendam

Juara Piala FA, Kedah sama sekali tidak akan turun dengan misi membalas dendam apabila bertemu juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Sabtu ini.

Justeru, pengendali skuad Helang Merah, Ramon Marcote mengingatkan anak buahnya supaya tidak dibayangi dengan kekalahan pada final Piala Malaysia di tangan skuad Harimau Selatan musim lalu sebaliknya tampil dengan persembahan lebih baik untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata selain cuba mempertahankan trofi itu.

[AdSense-B]

Marcote berkata, aksi kali ini begitu berbeza dengan apa yang mereka harungi sebelum ini dan beliau mengakui tiada tekanan yang dirasai oleh anak buahnya menjelang aksi pembuka tirai Liga Super itu.

“Tiada dendam dalam bola sepak dan tiada perlawanan yang sama dengan satu perlawanan lain. Saya lebih suka melihat perlawanan itu sebagai aksi pertama liga yang turut memberi bonus iaitu peluang merangkul trofi.

“Apa pun, kami tidak akan memberi laluan mudah kepada JDT dan kami akan berusaha untuk memberikan yang terbaik bagi melakar keputusan positif iaitu sekurang-kurangnya tidak pulang dengan tangan kosong pada aksi pertama musim ini.

“Walaupun beraksi di laman lawan tapi saya berpendapat JDT berdepan tekanan lebih tinggi memandangkan status mereka sebagai pasukan pilihan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

[AdSense-B]

Sebagai rekod, dua pasukan gergasi tempatan itu pernah bertemu untuk merebut piala sama musim lalu namun Kedah yang ketika itu diterajui Tan Cheng Hoe menang 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti apabila perlawanan terikat 1-1 selepas 90 minit.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan pasukan, jurulatih kelahiran Sepanyol itu mengakui beliau boleh menarik nafas lega selepas pemain importnya yang sebelum ini mengalami kecederaan, Sandro da Silva sudah menyertai sesi latihan.

“Dia sudah menyertai latihan penuh sejak seminggu lalu dan prestasinya kian baik. Mungkin dia boleh diturunkan bertemu JDT nanti.

“Pemain lain juga turut giat menjalani latihan dan suasana dalam pasukan begitu harmoni. Kami sudah bersedia untuk memulakan musim baharu ini,” katanya.

[AdSense-B]

Sumber: Berita Harian

Baca juga: JDT Buru Gelaran Kelima Berturut-Turut

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: