Mario Gomez Jdt

Mario Gomez Berminat Menjadi Jurulatih Kedah Andai Mendapat Tawaran Dari KFA

Selepas Mohd. Nidzam Adzha Yusoff memberi bayangan untuk melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih Kedah, sudah ada beberapa individu menunjukkan minat dengan ‘kerusi panas’ itu.

Salah seorang dari mereka adalah Mario Gomez yang pernah melatih skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) meninggalkan kenangan manis apabila membantu skuad Harimau Selatan memenangi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) buat kali pertama pada 2015.

Pengendali kelahiran Argentina itu berkata, beliau hanya menanti tawaran daripada mana-mana kelab dan tidak menolak andaian melatih Kedah jika diberikan peluang oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

“Sudah pasti saya ber­minat. Saya pernah menyaksikan mereka (Kedah) bermain pada Januari lalu dan saya juga tahu JDT menang (Piala Malaysia).

“Kedah adalah pasukan kuat dan memiliki pemain-pemain bagus. Saya masih ingat, pemain No. 8 mereka (Liridon Krasniqi) adalah seorang pemain yang cukup hebat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, Mohd. Nidzam meminta pengurusan KFA segera mencari ketua jurulatih baharu supaya perancangan pasukan untuk mengharungi kempen Liga Malaysia musim depan dapat dilakukan dengan lebih tersusun.

Permintaan itu hadir selepas Kedah tewas 0-2 kepada JDT pada final Piala Malaysia di Shah Alam, Sabtu lalu.

Mohd. Nidzam pasrah dan mahu KFA meneliti semula kontrak kerana tugasnya selaku pemangku ketua jurulatih diberikan sehingga tamat musim ini.

Sumber: Kosmo!

Baca juga: Safiq Rahim Tetap Kapten Harimau Malaya


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: