Komik Alam Perwira

Masih Ingat Alam Perwira, Pedang Setiawan? 5 Sebab Kenapa Komik Ini Jadi Kegilaan Dulu

Bagi mereka yang membesar pada tahun 90-an dan awal 2000, salah satu fenomena paling tidak dapat dilupakan adalah nostalgia kegemilangan komik persilatan terjemahan dari karya pelukis-pelukis Hong Kong.

Pada zaman itu, komik-komik seperti Alam Perwira, Dendam Kesumat, Jejak Wira, Pedang Setiawan, Lingkaran Terkunci dan Dewata Raya menjadi kegilaan ramai.

Mungkin generasi muda masa kini tidak lagi mengenal pelukis ternama Hong Kong seperti seperti Tony Wong, Ma Weng Seng dan juga Wan Yat Leung.

Mungkin juga ada yang tidak pernah mendengar kehebatan jurus Gaya Menggempa Bumi Membelah Langit, Cakar Menolak Awan, Gaya Neraka Vincci, Tendangan Vijra, mahupun Hikmat Suria.

Kredit foto: Orang Wangsa Maju

Kalau dibandingkan, bahan bacaan komik pada zaman itu jauh berbeza kualitinya dengan komik sekarang. Walaupun sirinya panjang dan mencecah hingga ratusan episod, pembaca tetap setia mengikuti dan membelinya setiap keluaran. Malah, ada yang sanggup berkongsi wang di sekolah untuk membeli komik keluaran terbaru.

Meninjau kembali nostalgia lalu, ini antara kelebihan komik persilatan berkenaan;

1. Gaya Lukisan Menarik

Kredit foto: Carian Google

Gaya lukisan sesuatu komik yang cantik amat mempesonakan. Setiap pelukis mempunyai gaya lukisan tersendiri dan tidak terikut-ikut dengan pesaingnya. Setiap watak mempunyai gaya berpakaian, karektor dan perwatakan tersendiri. Gaya persilatan yang penuh aksi juga mampu diterjemahkan dengan baik dalam setiap lukisan.

 2. Jalan Cerita Penuh Mendebarkan

Jalan cerita sesuatu komik itu menarik untuk diikuti. Sentiasa ada konflik dan twist yang tidak disangka-sangka. Di penghujung setiap komik selalunya ada cerita tergantung yang membuatkan pembaca tertunggu-tunggu keluaran komik seterusnya. Walaupun sentiasa ada watak baik dan jahat, pembaca akan mempunyai watak kegemaran masing-masing.

 3. Harga Murah

Kredit foto: Carousell

Harga yang terjangkau dan berbaloi! Ada di antaranya yang mampu dibeli dengan harga kurang RM2.00. Nilai ini berbaloi dengan kualiti kertas dan jumlah muka surat. Oleh itu, ramai peminat yang mampu menjadikan komik ini sebagai koleksi berharga dan disimpan sebagai kenangan.

 4. Saiz Kecil Mudah Dibawa

Kredit foto: Peace289Blog

Kerana saiznya yang ringan, nipis dan mudah dibawa, penulis selalu menyelitkannya di antara celah buku teks ketika ke sekolah. Pada waktu rehat, rakan sekelas akan bertukar-tukar bahan bacaan. Walaupun saiznya kecil, kualiti gambarnya tetapi terjaga dan kertasnya juga berkualiti

 5. Bahan Bacaan Seisi Keluarga

Pendek kata, seisi keluarga boleh menikmati bahan bacaan ini kerana kandungannya yang bersesuaian. Komik ini juga tidak terhad untuk golongan muda, malah, ramai lelaki dewasa menggemarinya. Penulis pernah mengenali seorang warga emas yang menjadikan komik ini sebagai bahan bacaan wajibnya.

Sayang sekali dengan perkembangan teknologi dan media sosial hari ini, bahan bacaan bercetak kini kurang diminati kerana pembaca boleh mendapatkannya terus dari Internet. Tetapi, bagi penggemar komik persilatan, penghujung tahun 90-an dan awal 2000 adalah zaman nostalgia yang tidak mungkin dilupakan.

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *