Seteguh Jihad Ahli Badar Memburu Malam Al Qadr

Kita Perlu Memburu bukan Menunggu Malam Al-Qadr, Ini Perkongsian Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Hari ini saya agak terkesan dengan status yang dimuat naik oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, ‘Memburu bukan Menunggu Malam Al-Qadr’. Huraian bait demi bait ayatnya sangat meruntun hati bagi sesiapa sahaja yang masih mencari erti sebenar Lailatul Qadar.

Lailatul Qadar adalah merupakan malam yang tiada tandingannya. Ia telah terukir di dalam Al-Quran di dalam surah Al-Qadr ayat 1 hingga 5 seperti mana maksudnya di bawah:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar itu?

Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”

tanda malam lailatul qadar, mencari malam lailatul qadar, malam Al-Qadr, amalan malam Al-Qadr, 10 malam terakhir Ramadhan

Allahu Akbar, sangat besar ertinya malam Al-Qadr. Tiada taranya. Jika dibaca pelbagai penerangan tentang malam tersebut, terdapat tiga objektif utama yang begitu penting bagi kita untuk memburu malam yang sangat dinanti itu.

1. Malam Yang Harus Kita Dapatkan untuk Menebus Segala Dosa Kesilapan Kita yang Lalu

Terdapat doa yang telah dikhususkan pada malam tersebut seperti mana yang telah diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Aisyah r.a,

“Saya pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w seandainya saya mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa yang patut saya akan doakan pada saat itu.

Baginda menjawab berdoalah dengan doa berikut:

‘Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan di atas kesalahan hamba-Mu oleh itu maafkanlah segala kesalahanku.’”

Hadis riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi

2. Mengundang Malaikat (sebagai aulia) untuk Bertamu di Hati Kita Bagi Memandu Menelusuri Kehidupan ke Arah Kebaikan

Ustaz Pahrol menjelaskan bahawa para ulama kontemporari berpendapat, malaikat-malaikat yang diturunkan dengan izin Allah pada malam tersebut bukan setakat bertugas untuk membawa naik amalan-amalan manusia, ia adalah lebih daripada itu.

Para malaikat seperti Jibrail a.s turun untuk bertamu di hati mereka yang telah mendapat penghormatan daripada Allah. Malaikat ini dengan izin Allah akan menjadi pelindung, penjaga dan pembimbing kepada dirinya. Ini bermaksud, kehidupannya semakin terarah dan sentiasa berada di jalan kebenaran.

Masya-Allah, beruntunglah sesiapa yang mendapat ‘anugerah kehormat’ daripada Allah ini. Semestinya bukan calang-calang orang. Sudah tentu dia seorang yang bersih hatinya dan ikhlas dalam memburu Lailatul Qadar.

3. Berdoa Memohon Kepada Allah Agar Segala Urusan Dipermudahkan Sehingga Bertemu Lailatul Qadar Berikutnya

Al-Qadr juga membawa maksud penetapan. Allah telah menetapkan takdir yang bakal berlaku kepada kita seperti kesihatan, umur, rezeki dan ajal manusia untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam Al-Qadr tahun ini sehingga ke malam Al-Qadr tahun hadapan.

Seperti mana Allah telah berfirman di dalam Surah Ad-Dukhan ayat 4 yakni,

“Pada malam itu (Lailatul Qadar) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.”
Perbanyakan doa agar diri kita sentiasa dipermudahkan dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh dengan dugaan, dimurahkan rezeki yang berkat dan diberi kesempatan dalam melakukan pelbagai amalan kebaikan sebagai bekalan bertemu Allah nanti.

11 Tip Memburu Lailatul Qadar

Saudara seperjuangan, jangan biarkan Lailatul Qadar tahun ini berlalu pergi begitu sahaja. Entah sempat entah tidak untuk kita bertemu Al-Qadr pada tahun hadapan pula. Di sini saya senaraikan 11 tip dalam berusaha untuk memburu Al-Qadr.

  1. Pasang niat untuk memburu Al-Qadr.
  2. Berdoa banyak-banyak kepada Allah kerana La Haula wa La Quwwata Illa Billah.
  3. Tidur berbantal lengan untuk mudah terjaga.
  4. Elakkan makan terlalu banyak sewaktu berbuka.
  5. Kunci jam di telefon atau jam loceng.
  6. Gunakan aplikasi yang berinovasi untuk mengejutkan mereka yang susah untuk terjaga.
  7. Pesan kepada kaum keluarga yang lain untuk sama-sama bangun.
  8. Kuatkan diri dengan semangat juang ahli Badar
  9. Tidur awal untuk menghilangkan keletihan dan mengumpul tenaga.
  10. Jauhkan diri daripada melakukan perkara yang melalaikan.
  11. Berqailullah iaitu tidur seketika pada waktu siang.

Jangan terpedaya dengan kata-kata mereka bahawa Al-Qadr telah berlalu pada tarikh sekian-sekian. Teruskan memburu pada setiap waktu sehingga penghujung Ramadhan. Sesungguhnya kedatangan malam tersebut adalah rahsia milik Allah yang tidak siapa pun tahu bila akan berlaku.

Sucikan hati, ikhlaskan diri. Berjihadlah seperti ahli Badar, kitalah pemburu Al-Qadr. Insya-Allah. Disini kami kongsikan 5 tanda malam Al-Qadr:

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: