Kemurungan

Inilah Cara Merawat Penyakit Kemurungan Menurut Islam, Jangan Tewas Pada Bisikan Syaitan

Kemurungan adalah sejenis penyakit biologikal yang dihidapi seseorang tidak disedari tanpa mengira usia, jantina, personaliti, latar belakang dan fisiologi seseorang. Kewujudannya menjadi satu ancaman kepada kesihatan manusia dan lebih merbahaya daripada penyakit   berbahaya lain seperti penyakit jantung, diabetes, darah tinggi dan angin ahmar kerana sifatnya yang boleh membunuh secara senyap. Seseorang yang menghidap penyakit kemurungan dapat dilihat dari segi tingkah laku dan cara percakapan. Individu yang murung cenderung untuk menyendiri dan bersikap anti sosial. Mereka lebih suka duduk menyendiri daripada bergaul dengan orang ramai. Sebahagiannya pula bertindak agresif terhadap orang lain sehingga boleh mencederakan. Dari aspek dalaman pula, individu yang murung mudah berasa risau, tertekan, fikiran menjadi tegang, cepat marah, mengeluh, runsing, rasa kecewa dan mudah mengangis. Semuanya berlaku secara berbaur tanpa ada sebab yang munasabah dan mudah difahami.

Penyakit kemurungan perlu dirawat segera bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak didingini berlaku. Hal yang demikian kerana negara pernah digemparkan dengan berita kematian pelajar sekolah kerana membunuh diri akibat menggantung diri dan terjun dari bangunan tinggi. Tragedi berdarah itu berlaku  disebabkan gangguan jiwa dan kemurungan yang dihadapi  remaja tersebut di tahap kritikal. Persoalannya ialah apakah yang menjadi punca berlakunya masalah kemurungan ? Hasil daripada kajian, antara punca berlakunya masalah kemurungan ialah kehilangan seseorang yang sangat dikasihi, bosan dengan suasana kehidupan, mendapat tugasan yang dirasakan membebankan, kecewa dengan kegagalan, tekanan hidup  persaingan dan konflik dalaman.

Islam memberi konklusi yang berbeza tentang masalah kemurungan. Manusia secara fitrahnya dipengaruhi oleh unsur dalaman yang terdiri daripada nafsu, jiwa dan perasaan. Sekiranya unsur-unsur tersebut mengalami gangguan, maka akan mempengaruhi tingkah laku dan perbuatannya. Faktor lain yang dikenal pasti sebagai punca ialah gangguan daripada makhluk halus iaitu jin dan syaitan yang membawa kepada ketidakstabilan emosi dan hilang kewarasan akal. Hasutan jin dan syaitan adalah bermotifkan untuk menyesatkan manusia supaya melakukan perkara-perkara yang membinasakan diri seperti membunuh. Justeru, kaedah yang paling berkesan perlu dilakukan untuk merawat penyakit kemurungan dalam kalangan remaja ialah melalui kaedah rawatan batiniyah yang berkonsepkan ketuhanan.

Terapi secara kerohanian dilihat sebagai alternatif terbaik untuk merawat penyakit kemurungan dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran, Asma ul-Husna, solat, zikir, doa, munajat dan melakukan amalan kebaikan sebagaimana yang digariskan oleh syara’. Allah swt sentiasa mengingatkan manusia agar sentiasa mengingatiNya bagi mendapatkan pertolongan sebagaimana disebut dalam surah Al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud :

“Maka ingatlah kepadaKU. Aku juga akan ingat kepadamu”.

Dan firmanNya lagi dalam ayat 153 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat”

Antara panduan yang boleh digunakan sebagai terapi jiwa menggunakan pendekatan Islam ialah membaca surah Al-Fatihah, ayat Kursi, surah Thaha (ayat 1-5), surah Al-Insyirah, berwudhu’, dan memperbanyakkan salawat ke atas junjungan Nabi Muhammad saw. Ini bertepatan  dengan pendapat Ibnu Qayyim al-Jauzi dalam kitabnya berjudul Zadul Ma’ad yang mengatakan bahawa tidak ada doktor yang boleh merawat penyakit jiwa melainkan beramal soleh, menghampirkan diri kepada Allah dan mengingati hari kiamat.   Ini berdasarkan kepada firman Allah swt dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud :

“Wahai manusia yang telah dating kepada kamu Al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit yang ada di dalam dadamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman”

Islam menggalakkan umatnya supaya menjadi generasi yang cergas, cerdas dan bersemangat untuk menghadapi ragam kehidupan yang semakin mencabar.  Kekuatan yang ada pada diri perlu dibentuk dengan melengkapkan keperluan fisiologi dan mentalitinya. Selain merawat aspek batiniyah, aspek lahiriah juga perlu dijaga dengan melakukan beberapa kaedah. Antaranya ialah menjaga kesihatan diri melalui pemakanan dan senaman secara rutin. Selain itu, menjaga kebersihan diri dan persekitaran juga amat penting bagi mengelakkan penyakit dan gangguan syaitan.Gaya hidup perlu diubah dengan berhenti merokok dan mengelakkan diri dari  meminum arak kerana boleh menjejaskan kesihatan diri dan akal sebagaimana peringatan Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud :

“Pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat tetapi dosanya lebih besar daripada manfaatnya”

Penyakit kemurungan juga dikaitkan dengan masalah anti-sosial dan isolasi yang berpunca daripada perasaan rendah diri dan kurang keyakinan  kerana kecewa setelah gagal untuk mencapai sesuatu. Cara terbaik yang boleh dilakukan ialah banyak beriadhah bersama keluarga dan bergaul dengan orang ramai supaya jiwa dan mentaliti tidak dibelenggu dengan beban perasaan yang membawa kepada kemurungan. Hubungan yang erat antara ahli keluarga dapat meransang emosi yang lebih stabil, bersemangat dan bermotivasi untuk menghadapi cabaran hidup. Sebaliknya apabila keadaan jiwa dan emosi yang tidak stabil, syaitan akan mengganggu dan menghasut supaya hilang semangat, putus asa dan meletakkan diri di tempat yang hina. Segala usaha tersebut perlu dilakukan dengan niat semata-mata kerana Allah swt bagi mengharapkan rahmatNya supaya dihindarkan daripada perkara-perkara yang memudharatkan. Firman Allah swt dalam surah al-Ra’d ayat 28 yang bermaksud :

“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram “.

Kesimpulannya, segala masalah yang dihadapi perlu diselesaikan dengan pendekatan yang berlandaskan syara’ . Yakinlah bahawa setiap masalah pasti ada cara untuk menyelesaikannya dan Allah adalah penolongnya.  Sesungguhnya Allah swt tidak akan membebankan  dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggung kerana kasih terhadap umatNya. Jadikan cabaran hidup sebagai penguat diri untuk menjadi insan yang lebih baik kerana umat yang sentiasa diuji adalah umat yang dikasihi.  Elakkan daripada terlalu mengikut perasaan dengan jiwa yang kosong kerana keadaan demikian pasti akan mengundang masalah kemurungan. Kemurungan boleh menggugat keimanan dan menjadikan manusia berada di lembah kehinaan. Jadikan diri sebagai manusia yang cemerlang bagi mencapai kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Wallahua’lam.

Depresi Dari Sudut Islam Bersama Ustaz Don

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: