Mifa

MIFA kejutkan JDT II

PASIR GUDANG: Johor Darul Ta’zim II (JDT II) gagal meneruskan rentak kemenangan selepas tewas tipis 0-1 kepada MIFA pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), sebentar tadi.

Bagi MIFA, kemenangan itu cukup bermakna apabila berjaya melonjak ke tangga ketiga dengan mengumpul 26 mata, selepas 18 perlawanan.

Skuad bimbingan K Devan itu mula menghimpit kedudukan FELCRA FC di tangga kedua untuk memburu slot ke saingan Liga Super musim depan.

Walaupun pada babak pertama tamat tanpa jaringan, namun penguasaan jelas milik skuad kendalian Benjamin Mora yang lebih banyak mengasak kubu lawan yang jelas beraksi dalam tekanan.

Bersambung di babak kedua, JDT II terus mengasak, namun percubaan Darren Lok yang melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-49 gagal disambar Khairullah Abdul Halim yang berada di posisi terbaik untuk menolak bola ke gawang lawan.

Namun kesilapan kapten, Shakir Shaari pada minit ke-52 yang mengumpan bola ke belakang bagaikan memberi `hadiah’ buat L’iman Syedi apabila bijak menyambar bola sebelum merembat leret ke penjuru kanan menewaskan penjaga gol, Haziq Nadzli.

Tuan rumah cuba bangkit memburu gol penyamaan, namun percubaan Harry Novillo pada minit ke-69 menerusi sepakan percuma sekadar terkena benteng pelawat.

Pelawat yang tampak selesa dengan jaringan satu gol lebih banyak berkampung di kawasan sendiri dan taktik mereka membuahkan hasil apabila kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: