Benjamin Mora

Mora berang pemain MIFA berlakon rebah

PASIR GUDANG: Taktik pemain MIFA FC yang kerap rebah dan melambatkan perlawanan mengecewakan pengendali Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Benjamin Mora sambil  menyifatkan pasukan itu tidak profesional.

Menurutnya, corak permainan itu merosakkan keindahan bola sepak yang sepatutnya diterjemahkan dengan taktikal permainan menarik dan bukannya meminta belas kasihan pengadil perlawanan bagi menghentikan perlawanan.

Malah beliau menerima kekalahan 0-1 dengan hati terbuka walaupun berpendapat  JDT II menguasai perlawanan.

“Agak memalukan apabila pemain lawan kerap `berlakon’ dan sering rebah untuk melambatkan permainan dan saya kecewa perkara itu berlaku.

“Malah pasukan lawan gemar `berkampung’ di kawasan sendiri, akibat kesilapan yang dilakukan pemain JDT II kami dihukum. Walaupun kami berusaha untuk mencari gol penyamaan tetapi penyudah yang tumpul menjejaskan peluang mengutip satu mata.

“Secara keseluruhannya, kami menguasai perlawanan dengan corak permainan tersusun malah kesebelasan pemain menunjukkan komitmen tinggi pada aksi itu, namun kami  dihukum atas satu kesilapan mudah,” katanya ketika ditemui Sukan NSTP.

Mora juga mengakui ketiadaan Nicolas Fernandez yang digantung satu perlawanan akibat kad merah ketika menentang FELDA United, 27 Jun lalu, menjejaskan penguasaan di posisi tengah dan setiap gerakan sering dipatahkan barisan pemain MIFA FC.

Bagaimanapun, beliau enggan menyerah kalah tatkala aksi berbaki tiga perlawanan sebelum saingan liga melabuh tirai untuk memburu kedudukan lima teratas liga.

“Kami ada tiga lagi perlawanan iaitu menentang FELCRA FC, UiTM FC dan UKM FC. Saya anggap ketiga-tiga perlawanan itu cukup mencabar namun persiapan rapi akan dibuat untuk memastikan kemenangan memihak JDT II,” kata Mora.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: