JDT 2

Mora Sasar Kelompok Tiga Teratas Liga Perdana

Pengendali Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Benjamin Mora menetapkan sasaran kelompok tiga teratas pada saingan Liga Perdana yang akan menyingkap tirainya awal bulan depan.

Mora menegaskan selepas hampir empat minggu menjalani latihan, penekanan lebih terarah untuk meningkatkan tahap kecergasan terutama aspek fizikal dan tampak kesan positif dalam kalangan pemain yang mula menunjukkan peningkatan.

Menurutnya, beberapa pemain muda bawah 21 tahun yang dibawa masuk ke skuad itu tampak sedang dalam proses menyesuaikan diri untuk bersaing dalam kancah Liga Perdana dan memerlukan masa untuk beraksi secara konsisten.

“Kami ada 13 pemain B-21 dan mereka berpotensi namun perlukan masa untuk sesuaikan diri apabila beraksi di kancah Liga Perdana yang berbeza ketika mereka beraksi dalam saingan Piala Presiden.

“Saya juga ingin mengesahkan Hasbullah Abu Bakar dan Dominic Tan akan bersama JDT II musim ini dan pengalaman mereka ketika bersama skuad utama akan memberi impak positif.

“Kehadiran Shakir Shaari, Amir Saidin dan Nicolas Ferandez serta pemain import baharu, Murilo Damasceno dan pemain import dari Singapura, Hafiz Abu Sujad yang memiliki pengalaman akan membantu skuad ini mengharungi saingan liga yang saya fikir lebih mencabar,” katanya.

JDT II mengharungi empat aksi persahabatan dengan memenangi satu daripadanya membenam Selangor United 4-0. Mereka tewas 0-5 kepada JDT, 1-2 kepada kelab Liga Singapura, Tampines Rovers dan 1-2 kepada kelab Liga Indonesia 1, Mitra Kulkar.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Mitra Kukar Kagum Dengan Layanan Istimewa JDT


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: