Morais Anak Buah

Morais Elak Perbesarkan Kesilapan Anak Buah

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais, memuji kebangkitan anak buahnya apabila kejayaan menjulang Piala Sumbangsih dan tiga mata penuh memadam beberapa kepincangan yang berlaku ketika berdepan Kedah di Larkin, malam tadi.

JDT mengesahkan tiga mata penting selain merampas Piala Sumbangsih yang diraih Kedah musim lalu menerusi kemenangan 2-1.

Bangkit daripada ketinggalan membuatkan Morais cukup berpuas hati dengan kualiti pemain yang dimilikinya.

Dia tidak melabel cara permainan anak buahnya sebagai sempurna, namun kualiti tidak berputus asa yang ditampilkan membuatkan Morais bertegas bahawa mereka wajar diberikan pujian.

“Kami tewas dan menang bersama, kesilapan berlaku dan pastinya saya tidak suka dengan kesilapan tetapi keputusan akhir menggembirakan saya.

“Apa yang penting, mereka tahu apa yang perlu dilakukan selepas melakukan kesilapan.

“Usaha mereka perlu diberikan pujian. Kami hargai pemain telah membuktikan mereka mampu mengubah kedudukan sukar kepada kejayaan.

“Ini adalah kejayaan bersama, termasuk penyokong, yang dianggap sebagai satu keluarga,” kata jurulatih Portugis itu.

Sementara itu, pemain kacukan Malaysia dan Barbados, La’vere Corbin-Chong mengungkapkan: “Paling penting, kami meraih tiga mata, kemenangan dan piala.

“Jelas sekali kami masih perlu memperbaiki aspek bertahan dan menyerang. Namun, secara keseluruhan, ia adalah pengalaman dan aksi sulung yang hebat serta usaha hebat daripada rakan sepasukan.”

Sumber: Stadium Astro

Baca juga: Tan Cheng Hoe Terpikat Dengan Aksi Corbin Ong


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *