Morais Pemain Jdt

Morais Masih Rahsiakan Kesebelasan Utama

 

Ketika Kedah dijangka menurunkan barisan kedua, Johor Darul Ta’zim (JDT) masih berahsia mengenai kesebelasan utama pada pertembungan yang dianggap ‘prafinal’ dan aksi terakhir Liga Super di Stadium Darul Aman, malam esok.

Persoalan sama ada skuad Harimau Selatan tidak menurunkan gandingan import Gabriel Guerra, Gonzalo Cabrera dan Mohammed Ghaddar dan merehatkan ketiga-tiganya bagi aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 4 November ini, masih menjadi tanda tanya.

[AdSense-B]

Bagi pengendali JDT, Ulisses Morais setiap perlawanan yang diharungi tidak kira saingan liga atau Piala Malaysia amat penting buat skuad Harimau Selatan dan kemenangan menjadi buruan apatah lagi ia aksi terakhir liga.

Katanya, final Piala Malaysia berbaki seminggu lagi dan enggan terlalu memikirkan pertembungan itu memandangkan aksi liga tetap penting bagi menamatkan saingan itu dengan kemenangan.

JDT vs Melaka United Hazwan Bakri

“Kami ada 28 pemain yang memiliki kualiti setaraf dan ingin saya katakan lagi dalam skuad JDT tiada pasukan utama atau kedua, semua pemain bersama pasukan ini adalah yang terbaik dan mampu beraksi dalam skuad utama.

“Persiapan kami sama ada untuk aksi liga mahupun final Piala Malaysia berjalan lancar dan paling mustahak tiada pemain yang mengalami kecederaan dan akan turun menentang Kedah dengan barisan terkuat.

[AdSense-B]

“Mungkin ramai yang melabelkan ia perlawanan ‘prafinal’ Piala Malaysia namun bagi saya ia berbeza kerana saingan liga kami inginkan tiga mata terakhir sebelum liga melabuh tirai manakala final Piala Malaysia, ia perlawanan 90 minit yang mendebarkan kerana masing-masing ingin menjulang kejuaraan,” katanya.

Morais menegaskan Kedah pasukan berkualiti apatah lagi JDT beraksi di laman mereka yang sememangnya memiliki aura tersendiri namun akan memberi tentangan sengit bagi memburu kemenangan pada aksi terakhir liga.

“Kemenangan ke atas Kedah juga akan mencetus motivasi tinggi kepada setiap pemain bagi persiapan mengharungi final piala dan saya jangkakan aksi terakhir liga lebih menarik dengan corak permainan taktikal yang mantap akan ditonjolkan JDT dan Kedah,” jelas Morais.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Masalah ‘Bahasa’ Morais Tak Jejas JDT

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: