Yol Piala Cabaran

Peluang terbaik untuk cipta sejarah – Amirulhadi

JOHOR BAHRU: Keazaman untuk melangkah ke pentas final Piala Cabaran begitu menebal buat pemain tengah Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Amirulhadi Zainal apabila berdepan UKM FC pada separuh kedua di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam ini.

Walaupun skuad Merah Biru memiliki kelebihan selepas seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium KLFA, Cheras, 24 September lalu, namun kedudukan itu masih belum selamat kerana perlu menempuh baki 90 minit perlawanan.

Tegas Amirulhadi, skuad kendalian Sulaiman Hussin tidak boleh dipandang remeh kerana pemain pasukan itu memiliki kekuatan tersendiri dan mampu melakar kejutan jika pemain JDT II bersikap sambil lewa.

“Biarpun JDT II ada kelebihan jaringan di tempat lawan, namun kami tidak boleh selesa dengan keputusan itu sebaliknya kena fokus melebihi 100 peratus.

“Kami tidak boleh terlalu yakin dan perlu beraksi mengikut taktikal dirancang jurulatih (Ervin Boban), kerana kita tahu UKM FC bijak mengambil peluang mencipta gol.

“Piala Cabaran adalah piala pertama kali dipertandingkan dan saya harap rakan sepasukan ada keinginan untuk mencipta nama melangkah ke pentas final dan sekali gus menjuarai piala berkenaan buat pertama kali,” katanya.

Pada aksi separuh akhir pertama, JDT II hampir membawa bekalan selesa selepas S Kumaahran menjaringkan gol pada minit ke-12, namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Michael Ijezie menyamakan jaringan pada minit ke-82.

Amirulhadi menegaskan, semangat kerjasama berpasukan dalam skuad JDT II mampu memberi kekuatan kepada pasukan itu.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan pemain UKM FC yang berpengalaman mampu memberi tentangan terutama dengan kehadiran pemain import, Ijezie serta Nam Se-in.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *