Hishammuddin

Pemilihan UMNO: Hishammuddin Tidak Bertanding Peringkat Pusat

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengumumkan tidak akan bertanding sebarang jawatan peringkat pusat pada pemilihan parti kali ini.

Bekas Menteri Pertahanan itu berkata, beliau sebaliknya akan bekerja lebih keras untuk membantu membangunkan semula UMNO, bermula di Johor.

“Saya berikrar untuk tetap setia bersama UMNO hingga ke akhir hayat dan akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada barisan kepemimpinan baharu yang bakal dipilih ahli menjelang 30 Jun ini.

“Saya juga sudah bercakap dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden) dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor) mengenai perkara ini serta berbincang bagaimana untuk saya terus menyumbang kepada parti.

“Mereka faham dan menghormati keputusan itu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Johor, dalam satu kenyataan, hari ini.

Hishammuddin berkata, beliau sedar dan insaf dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang tidak menyebelahi Barisan Nasional (BN), sekali gus menerimanya dengan baik serta terbuka.

Beliau berkata, ia memberi isyarat jelas bahawa UMNO tidak boleh lagi beroperasi seperti biasa, sebaliknya menuntut perubahan pendekatan parti itu secara menyeluruh.

“Saya turut mengambil tanggungjawab dan akauntibiliti atas kekalahan itu. Dalam masa kita menerima keputusan PRU-14, UMNO kini berada pada peringkat pemilihan parti.

“Masa amat sesuai untuk UMNO mengambil kesempatan melakukan perubahan dengan mencorakkan kepemimpinannya. Saya mendapati ramai menawarkan diri bertanding demi membawa UMNO ke hadapan, dan saya percaya mereka harus diberi peluang untuk memimpin.

“Justeru, saya membuat keputusan untuk tidak bertanding apa-apa jawatan peringkat pusat pada sesi pemilihan kali ini,” katanya.

Beliau menegaskan, perjuangan kali ini bukan mengenai individu tetapi kekuatan berpasukan.

“Perjuangan kali ini bukan mengenai kedudukan tetapi sumbangan. Marilah kita mengambil isyarat PRU-14 sebagai semangat membina UMNO yang lebih dekat pada hati rakyat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *