Pengadilan

Penyokong Terengganu Pertikai Mutu Pengadilan

“Mutu pengadilan teruk, ini boleh menyebabkan bola sepak negara tidak berkembang. Itu yang dapat kami rumuskan,” kata Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Negeri Terengganu (PETEH), Wan Mohd Azmi Wan Ngah.

Mohd Azmi berkata demikian ketika mengulas rungutan peminat yang kecewa apabila pasukan Terengganu FC (TFC) ‘dihukum’ pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria yang didakwa tidak cukup profesional ketika melaksanakan tugas dalam aksi Liga Super TFC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), malam tadi.

[AdSense-B]

Aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu menyaksikan pasukan pelawat menang tipis 1-0, sekaligus merampas kedudukan tahta Liga Super daripada PKNS FC.

Beliau berkata, keputusan kurang tepat dan tidak bijak yang dilakukan pengadil itu bukan hanya boleh mengecewakan¬† pemain, malah boleh menyebabkan penyokong ‘naik angin’.

“Anda di rumah pun boleh lihat sendiri mutu pengadilan pengadil berkenaan kerana ada siaran langsung di televisyen.

“Beberapa keputusan jelas berat sebelah memihak kepada JDT, malah pengadil berkenaan juga seolah-olah tidak begitu arif soal undang-undang bola sepak.

“Bagi kami, beberapa insiden yang jelas, contohnya Tchetche Kipre dijatuhkan dalam kotak penalti pada babak kedua bagaikan dipandang sebelah mata oleh pengadil itu, selain beberapa insiden lain.

“Malah lebih kesal gangguan yang dilakukan oleh pengendali JDT ketika bola hantaran keluar juga tidak dihukum dengan sebaik mungkin, malah hanya teguran lisan saja.

[AdSense-B]

“Pengadil perlu tahu kami datang ke stadium untuk melihat permainan yang menghiburkan dan menarik, bukannya ingin melihat mutu pengadilan berat sebelah itu.

“Bagi PETEH, pengadil itu harus dihukum dan perlu ‘belajar’ lagi kerana tidak layak mengadili perlawanan yang penting dan hanya layak mengadili liga kampung saja,” kata Azmi yang mahukan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) membuat aduan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung mutu pengadilan itu.

Sebelum ini, penyokong tegar TFC pernah mengamuk kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan membabitkan pasukan tuan rumah pada 16 Mei 2015.

Ketika itu, peminat Terengganu merusuh termasuk membakar kenderaan kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan ketika separuh akhir kedua saingan Piala FA bertemu skuad Lions XII apabila pengadil membatalkan jaringan pada minit terakhir kerana kedudukan offsaid.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: PKNS Perlu Jinak TRW Untuk Pintas JDT

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: