Syafiq Vs Tampines

Piala AFC 2018: JDT, Tampines Rovers Berkongsi Mata

Johor Darul Ta’zim (JDT) mencuri satu mata dari Stadium Jalan Besar, Singapura sebentar tadi, selepas terikat tanpa jaringan dengan Tampines Rovers dalam aksi Kumpulan H saingan Piala AFC.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Raul Longhi kini berada di kedudukan kedua kumpulan dan berkongsi empat mata bersama kelab Indonesia, Persija Jakarta yang menghuni tangga ketiga.

[AdSense-B]

JDT yang tewas 0-2 kepada pendahulu kumpulan, Song Lam Nghe An FC di gelanggang lawan pada 28 Februari lalu hanya memiliki kelebihan satu jaringan berbanding Persija Jakarta.

Pada aksi sebentar tadi, perlawanan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan dan JDT mendapat beberapa peluang terbaik untuk memecah kebuntuan jaringan, namun gagal disempurnakan jentera serangan yang dikemudi barisan pemain muda, Ahmad Hazwan Bakri, Darren Lok, dan Syafiq Ahmad.

Peluang terbaik skuad Harimau Selatan muncul pada minit ke-62, namun percubaan jarak dekat Aidil Zafuan Abd Radzak berjaya ditepis penjaga gol Tampines Rovers, Syazwan Buhari.

Biarpun perlawanan sengit terus disajikan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan hingga hujung permainan, namun ketumpulan jentera serangan melakukan penyudah berkesan menyebabkan perlawanan sekadar berkesudahan dengan keputusan seri 0-0.

[AdSense-B]

Bagi Tampines Rovers, keputusan itu sudah pasti meletakkan mereka dalam kedudukan bahaya untuk tersingkair awal daripada kejohanan apabila kekal di kedudukan tercorot kumpulan dengan mengumpul satu mata selepas tiga perlawanan.

JDT yang juga juara Piala AFC musim 2015 akan berdepan Tampines Rovers semula pada pusingan kedua peringkat kumpulan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, 14 Mac ini.

Sementara itu, Persija Jakarta yang turut terikat tanpa jaringan dengan Song Lam Nghe An pada aksi petang tadi, bakal melayan kunjungan kelab Vietnam itu di Stadium Gelora Bung Karno, pada tarikh sama.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Piala AFC 2018: Kumpulan H Perlawanan ke-3, JDT dan Tampines Rovers Perlukan 3 Mata

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: