Stadium Larkin Pintu Ditutup

Pintu Stadium Ditutup, Penyokong Perlu Datang Awal

Pintu masuk Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin akan ditutup setiap kali menjelangnya perlawanan membabitkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Mohd Fahmy Yahya berkata, penutupan pekarangan stadium sebelum bermulanya perlawanan itu adalah untuk memberikan keselesaan serta lebih terkawal.

Menurutnya, penutupan itu bukan sahaja membabitkan saingan domestik tetapi antarabangsa iaitu ketika perlawanan Piala AFC diadakan.

“Kami minta kerjasama penyokong sama ada pemegang pas bermusim atau pun tiket untuk masuk ke stadium sebelum pintu dikunci pada jam 9 malam untuk Liga Malaysia dan 8.30 malam untuk Piala AFC.

Suasana di dalam Stadium Larkin selepas tamat perlawanan menentang Terengganu. Gambar: JST

“Tujuannya adalah untuk mendisiplinkan penyokong agar tidak mundar-mandir selepas sepak mula berlangsung serta menjaga keselesaan kepada penyokong yang datang awal,” katanya menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, di sini, sebentar tadi.

Mohd Fahmy berkata, selepas ini beberapa perkara lagi akan diusahakan bagi memastikan keselesaan serta kebajikan penyokong sentiasa dijaga.

Terdahulu, Kelab Bola Sepak JDT melaporkan pihaknya mengenal pasti masalah berkenaan isu penjualan tiket dalam perlawanan sebelum ini serta bakal mengambil tindakan keras terhadap pelakunya.

Perkara tersebut membawa kepada perjumpaan bersama wakil kelab penyokong JDT untuk berbincang serta mencari jalan penyelesaian berhubung perkara terbabit.

Sumber: Sinar Harian

Baca juga: Tan Cheng Hoe Pertimbang Khidmat Natxo Insa Dan Corbin Ong


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: