Raul Longhi Kl

Raul Longhi mahu tebus kekalahan di Stadium Cheras

JOHOR BAHRU: Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu memastikan luka akibat ditewaskan Kuala Lumpur sebelum ini, berbalas apabila sekali lagi dijadualkan bertemu pasukan sama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Pengendali JDT, Raul Longhi berkata, KL yang dikendalikan Fabio Maciel adalah pasukan tunggal yang menewaskan Harimau Selatan pada aksi liga dan peluang bertemu skuad Warga Kota itu bakal dijadikan medan untuk menebus semula kekalahan 0-1, 11 Februari lalu.

Beliau berkata, KL mencalar rekod tanpa kalah JDT sebelum ini dan kekalahan itu memberi kesan buat setiap pemain dan aksi terakhir di tempat sendiri harus diterjemah dengan kemenangan.

“Sudah tentu kami mahu balas dendam dengan kekalahan yang dialami selepas perlawanan terpaksa ditangguhkan akibat hujan itu. Kami mahu menang dalam perlawanan terakhir liga dan sememangnya mentaliti untuk memburu kemenangan sudah disemat di kalangan pemain.

“Saya akan menurunkan semula Marcos (Antonio) dan Gonzalo (Cabrera) yang tidak beraksi menentang PKNP FC, baru-baru ini,” katanya.

Apapun, Longhi tidak menafikan KL memiliki kekuatan tersendiri dan setiap pemain JDT harus sentiasa berwaspada dengan kelicikan pemain lawan yang pantas dan bijak mengambil kesempatan untuk mencipta jaringan.

Menurutnya, anak didik Maciel pasti akan lebih bersemangat kerana pernah menewaskan JDT dan kemungkinan mereka akan memperkuatkan posisi tengah dan pertahanan untuk memburu kemenangan.

“Mereka dibarisi pemain hebat sambil kelicikan Guilherme de Paula, Paulo JosuĂ© dan Zaquan Adha Abd Radzak boleh dianggap kunci kekuatan KL.

“Apa yang saya inginkan daripada setiap pemain adalah menunjukkan komitmen tinggi, mengawal perlawanan dan beraksi dengan positif tanpa membiarkan KL menguasai perlawanan,” kata Longhi.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *