Elavarasan

Ridzuan Ambil Alih Tugas Elavarasan Bertemu JDT

MELAKA: Penolong jurulatih Melaka United (MU), Ridzuan Abu Shah akan mengambil alih tugas jurulatih, E Elavarasan ketika skuad Hang Tuah berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam esok.

Ia susulan Elavarasan sedang menjalani kursus kejurulatihan Pro A di Indonesia dan hanya akan pulang ke pangkuan pasukan Sabtu ini.

Ridzuan berkata, tanggungjawab yang dipikul amat berat tetapi berharap strategi yang dirangka bagi menghadapi pendahulu Liga Super itu akan membuahkan hasil.

“Tiada banyak perubahan yang akan dilakukan namun kami tidak dapat menurunkan R Gopinathan, S Chanturu dan Syahrul Azwari Ibrahim kerana terikat dengan syarat pinjaman bersama JDT.

“Situasi ini sedikit menggusarkan, namun saya tetap yakin dengan persembahan pasukan walaupun tanpa khidmat trio berkenaan,” katanya.

Ridzuan berkata, beliau berharap barisan yang diturunkan tidak terlalu menghormati lawan, sebaliknya perlu yakin dengan kemampuan diri untuk cuba memerangkap anak buah Raul Longhi.

“Walaupun sukar, kami harap dapat melakukan kejutan menewaskan lawan, tetapi jika meraih satu mata, ia tetap satu kejayaan,” kata bekas pemain Melaka dan Kuala Lumpur itu.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *