Safawi Rasid Vs Selangor

Safawi Enggan Mengalah Bersaing Dengan Pemain Import

Penyerang muda, Safawi Rasid bersedia untuk terus bersaing dengan pemain import meskipun kehadiran Harry Novillo dan Jorge Santos Silva bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menggugat peluang pemain tempatan.

Penyerang berusia 22 tahun itu mengakui persaingan untuk merebut tempat dalam pasukan semakin sengit, namun itu bukan alasan untuk penyerang tempatan cepat mengalah.

“Memang persaingan untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan semakin sukar sebab JDT ada pemain import baharu. Kalau kita lihat Novillo dan Silva ini pemain yang bagus dan boleh meningkatkan prestasi pasukan.

“Dan bagi pemain lain kena terus berusaha keras untuk mendapat tempat bermain. Saya percaya peluang sentiasa ada buat mana-mana pemain jika memberikan kesungguhan dalam latihan dan perlawanan,” katanya.

Selain Novillo dari Perancis dan Silva (Brazil), Safawi turut bersaing dengan pemain tempatan iaitu Ahmad Hazwan Bakri, Darren Lok dan Syafiq Ahmad untuk merebut posisi serangan kelab Harimau Selatan itu.

Safawi kini berkongsi kedudukan bersama Safee Sali (PKNS FC) dan Hafiz Ramdan (PKNP FC) sebagai penjaring terbanyak liga bagi pemain tempatan dengan tiga gol selepas 10 perlawanan.

Pemain kelahiran Terengganu itu berharap akan terus konsisten bukan saja membantu kemenangan pasukan, malah mengejar kedudukan penjaring terbanyak yang kini didominasi oleh penyerang import Selangor, Rufino Segovia dengan lapan gol.

“Penyerang setiap kali beraksi mesti mahu menjaringkan gol, saya mahu membuktikan bahawa penyerang tempatan juga boleh melakukannya kerana itu tugas sebagai penyerang. Tapi apa yang paling penting adalah kemenangan pasukan,” kata Safawi.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: EXCO Johor Angkat Sumpah

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *