B Sathianathan Vs Morais

Sathianathan Mahu Fokus Bertemu JDT Dahulu

Jurulatih FELDA United FC, B Sathianathan masih belum memikirkan mengenai pertemuan dengan Kedah bagi aksi separuh akhir Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan bulan depan.

Sebaliknya, bekas pengendali skuad kebangsaan itu menegaskan skuad The Fighters lebih fokus kepada pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super pada Rabu.

[AdSense-B]

“Saya tidak fikir lagi, Kedah pasukan yang bagus. Jadi kami perlu bersedia, namun sebelum itu kami perlu bersedia untuk berdepan JDT dulu,” katanya.

The Fighters meraih kemenangan bergaya 4-1 ke atas PKNP FC pada suku akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam kelmarin sekali gus mara ke separuh akhir dengan agregat 5-4.

Mengulas mengenai kebangkitan luar biasa anak buahnya untuk mengatasi agregat 1-3 milik PKNP, Sathianathan menjelaskan faktor pengalaman dan kesungguhan tinggi anak buahnya berjaya menjadikan misi tidak mustahil itu sebagai kenyataan.

“Setelah ketinggalan satu gol pada minit kelapan, tapi pemain saya tetap bersemangat dan dengan pertukaran sistem permainan, kita berjaya dapatkan empat gol.

[AdSense-B]

“Ya, faktor pengalaman pemain juga menjadi kunci kejayaan kita. Sebagai contoh gol penyamaan yang dihasilkan Wan Zack Haikal (Wan Nor) berpunca daripada hantaran lintang Shukor (Adan).

“Sebelum itu, pemain lain ada cuba lakukan hantaran lintang tapi bola tidak sampai. Jadi, orang (pemain) tua juga nak kena ajar pemain muda macam mana nak buat hantaran lintang,” katanya.

Sementara itu, jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim menyifatkan pasukannya mendapat pengajaran berguna apabila melepaskan peluang keemasan untuk ke separuh akhir selepas mendahului dengan agregat yang cukup besar.

“Ini yang saya takuti, bila selesa kita menjadi terlampau yakin dan akhirnya kami terlepas peluang ke separuh akhir.

[AdSense-B]

“Bagi saya ini satu pengajaran dan pengalaman yang harus diambil pemain muda kami. Malah, FELDA United menghukum kami di atas kealpaan kami sendiri,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Statistik 2017: Penampilan, Minit Permainan Dan Jaringan Sehingga 25/09/2017

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: