Syafiq Ahmad Berjumpa Tmj

Saya Belum Buat Keputusan, Masih Fikir Lagi – Syafiq Ahmad

“Saya belum buat keputusan, masih dok pikiaq (fikir) lagi.” Begitulah jawapan penyerang muda Kedah, Syafiq Ahmad mengenai tawaran menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT), musim depan.

Syafiq yang baru pulang daripada tugasan bersama skuad kebangsaan pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara di Buriram, Thailand berkata, dia tidak mahu terburu-buru membuat keputusan.

“Saya baru balik dari Thailand, nak berehat dulu. Belum ada kata putus antara saya dengan JDT, kami masih dalam peringkat perbincangan.

“Lagipun saya masih ada kontrak bersama Kedah hingga hujung bulan ini, jadi sebarang keputusan hanya akan saya buat selepas itu,” katanya.

Syafiq, 22, salah seorang tonggak yang membantu skuad negara layak ke Kejuaraan B-23 Asia di China, Januari depan, disebut antara pemain baru yang akan direkrut oleh JDT musim depan.

Dia mencetus kemarahan penyokong Kedah apabila gambar pertemuannya dengan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang FELDA United tersebar di media sosial.

Bagaimanapun Syafiq tidak membiarkan kontroversi itu mengganggu tumpuannya apabila membantu Kedah layak ke final Piala Malaysia menentang JDT pada 4 November lalu.

Selain Syafiq, beberapa orang pemain skuad B-23 seperti Adam Nor Azlin (Selangor), Syamel Kutty Abba (Pulau Pinang), Adib Zainuddin (FELCRA FC) dan Nor Azam Azih (Pahang) turut dikaitkan dengan perpindahan ke JDT.

Sumber: Berita Harian


Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: