Subkhiddin Mohd Sallleh

Subkhiddin Janji Pengadil Terbaik Di Final

 

Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Kedah tidak perlu bimbang mengenai kualiti pengadil yang akan mengendalikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Salleh yakin pengadil yang akan dipilih nanti mampu menggalas tugas yang penuh tekanan dan mencabar itu.

Subkhiddin berkata, senarai akhir barisan pengadil akan dibuat Jumaat ini sebelum diumumkan pada mesyuarat koordinator perlawanan akhir itu, hari yang sama.

[AdSense-B]

“Kedua-duanya (Johor DT dan Kedah) lebih kepada perang psikologi, tapi tak apa sebab masing-masing nak menang.

“Mereka saja nak bagi tekanan kepada kami dan mungkin sebagai alasan awal sekiranya berlaku insiden dalam perlawanan itu nanti.

“Kami sudah berusaha sebaik mungkin untuk menghantar pengadil terbaik dan apa yang boleh saya katakan, mereka tidak perlu bimbang kerana saya yakin dengan persiapan rapi yang kami lakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Persatuan Penyokong Lang Merah (LMFA) mendesak FAM melantik pengadil yang benar-benar boleh berlaku adil dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak.

Malah, hari ini, Pengarah Sukan Kelab Bola Sepak JDT, Martin Prest pula mengeluarkan kenyataan meminta FAM dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dapat menyediakan pengadil berkualiti untuk mengendalikan aksi final itu.

Selain itu, Subkhiddin turut menempelak beberapa pihak yang hanya mendesak keputusan adil daripada pengadil tanpa menilai kelakuan pihak lain terutama pemain dan jurulatih.

[AdSense-B]

“Sekarang ini orang hanya minta pengadil bertindak adil, tapi mereka tidak pernah pun minta pemain berlaku adil. Ada tak yang minta pemain jangan melakukan kekasaran yang boleh mencederakan lawan?

“Sepatutnya pemain pun kena faham, masing-masing mencari makan dengan kaki dan badan mereka. Mereka kena fikir sama ada nak main kasar untuk menang atau nak menang dengan cara yang baik.

“Itu tidak termasuk lagi pemain yang berlakon dan jurulatih yang campur tangan hal pengadil, itu semua mengundang provokasi dan kemarahan penyokong. Jadi kalau nak pengadil untuk berlaku adil, mereka juga kena minta pemain dan jurulatih berlaku adil,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Negeri Johor Diberi Cuti Khas Peristiwa Jika JDT Juara

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: