Sultan Johor

Sultan Johor perkenan penubuhan Universiti Johor

ISKANDAR PUTERI: Penubuhan Universiti Johor yang akan mengguna pakai konsep kerjasama universiti, industri, kerajaan dan komuniti mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Agama negeri, Aminolhuda Hassan, berkata beberapa jawatankuasa panel penasihat dan sekretariat sedang diwujudkan sejak awal Jun lalu bagi membolehkan kajian dan gerak kerja dalam menubuhkan Universiti Johor.

Katanya, beberapa siri mesyuarat juga sudah diadakan bagi membincangkan konsep dan falsafah asas Universiti Johor.

“Pada 19 Jun lalu, Sultan Ibrahim sudah perkenan akan penubuhan Universiti Johor dan pada 24 Julai lalu, perjumpaan bersama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee sudah dilakukan bagi membincangkan perkara ini.

“Kertas asas perancangan Universiti Johor sudah pun dibentangkan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Tinggi dan wakil menteri pada 6 Ogos lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan penggulungan yang dibacakan pemangkunya, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar, pada Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kali ke-14, di sini, hari ini.

Aminolhuda berkata, maklum balas positif diperoleh dan semua pihak sangat komited untuk membantu kerajaan negeri dalam merealisasikan penubuhan Universiti Johor.

“Konsep Universiti Johor adalah berdasarkan Persekutuan dan gabungan bagi memenuhi tuntutan pembangunan pesat, tumpuan di daerah dan mengelakkan aliran keluar belia dari daerah.

“Universiti Johor akan memperkenalkan konsep Quadruple Helix, iaitu setiap graduan yang dilahirkan menerusi pendidikan berasaskan kompetensi bagi memastikan mereka memenuhi kehendak industri, kerajaan dan komuniti,” katanya.

Katanya, pihak kerajaan sememangnya komited dalam merealisasikan Universiti Johor dan memastikan kesan limpahan manfaat yang meluas kepada rakyat dan kerajaan seperti yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk lima tahun.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: