Cardiff City

Sultan Johor Taja 3 Juta Pound Ketika Cardiff City Dalam Saingan Liga Kejuaraan

KUALA LUMPUR: Dek kerana kecintaan kepada Malaysia, Kelab Bola Sepak Cardiff City akan mengekalkan ‘Visit Malaysia’ di depan jersi pasukan itu biarpun tidak mendapat penajaan daripada Kementerian Pelancongan.

Pemiliknya, Tan Sri Vincent Tan berkata, selama sembilan tahun beliau bersama kelab itu, Kementerian Pelancongan hanya memberi penajaan semusim sahaja ketika kelab itu beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2013-2014.

“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang juga rakan kongsi saya memberi penajaan kepada pasukan apabila kami meminta sokongan.

“Baginda memberikan penajaan 3 juta pound (RM16.05 juta) untuk tiga tahun lalu dengan setiap 1 juta pound (RM5.35 juta) diberikan setiap tahun ketika kami dalam saingan Liga Kejuaraan,” katanya dalam sidang media Kelab Bola Sepak Cardiff City, di sini hari ini.

Selepas kembalinya Cardiff City dalam saingan EPL pada musim 2018/2019 yang akan bermula Ogos depan, Vincent berharap kelab itu sekali lagi menerima penajaan daripada Kementerian Pelancongan.

“Sultan Johor berkata mahu meneruskan sokongan tetapi baginda mahukan saya berbincang dahulu dengan Menteri Pelancongan yang baharu kerana jumlah perbelanjaan yang diperlukan dalam EPL adalah lebih besar.

“Jadi, saya akan berjumpa Menteri Pelancongan selepas pelantikan dibuat dan berbincang dengannya cara untuk mempromosikan Malaysia,” katanya.

Vincent berkata penajaan terhadap pasukannya lebih berbaloi berbanding tindakan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sebelum ini yang memberi penajaan jutaan ringgit kepada seorang pemain, Luis Suarez yang juga penyerang Barcelona.

“Cardiff City bermain dalam EPL dan disaksikan 4.8 bilion penonton seluruh dunia dan mereka boleh lihat tulisan Visit Malaysia (di hadapan jersi)… Kami mahu pamerkan yang kelab ini adalah pasukan dimiliki Malaysia,” katanya.

November lalu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menerusi Tourism Malaysia melantik Suarez selama setahun sebagai Duta Pelancongan Malaysia bagi mempromosikan industri pelancongan negara ini.

Mengenai harapannya terhadap kelab itu selepas hanya bertahan satu musim sahaja pada 2013-2014, Vincent berharap kali ini kelabnya itu akan kekal lebih lama di liga utama Inggeris itu.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: