1

Kenapa Perlu Tangguhkan Makan Tengah Hari Hingga Selepas Solat Jumaat

Dalam surah Al-Jumu`ah ayat 9 dan 10:

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

Dua ayat ini adalah dalil yang jelas bagi larangan Allah terhadap aktiviti jual-beli dan perdagangan dari mula masuknya waktu solat fardhu Jumaat sehinggalah tamat solat tersebut. Maka hukum melakukan aktiviti jual-beli, dari membuat pesanan sehinggalah pertukaran barangan dengan wang, adalah HARAM.

Akan tetapi larangan ini hanyalah ditujukan kepada mereka yang wajib menunaikan solat Jumaat, jadi hukum ini tidak jatuh kepada kaum wanita, seperti yang dijelaskan oleh Ustaz Azhar Idrus dalam rakaman video YouTube di bawah:

Di sini saya ingin mengingatkan diri sendiri dan saudara-saudara sekalian, bersempena hari Jumaat yang mulia ini, supaya bersegera menghadirkan diri ke masjid apabila hampir masuk waktu solat Jumaat. Jangan sibuk-sibuk nak shopping kat gerai-gerai kat luar masjid tu.

Kalau nak makan tengah hari dulu tak apa, tetapi pastikan kita selesai membayar makanan sebelum azan berkumandang, jadi kalau nak makan sebelum solat Jumaat sila bayar sebelum makan.

Kalau ke kedai yang jenis “kira kemudian” takut-takut tak sempat nak bayar selepas makan tiba-tiba azan dah berkumandang, dan kalau kita bayar jugak maka jatuh hukum haram, takut-takut jual-beli jadi tak sah dan makanan yang kita makan jadi makanan curi. Nauzubillah.

Tapi adalah lebih baik kita tangguhkan makan tengah hari sehingga selepas solat Jumaat. Antara kebaikan makan lepas solat Jumaat:

  • Elakkan kes terpaksa bayar makan selepas masuk waktu solat seperti diterangkan di atas
  • Elakkan mata mengantuk dan tidur semasa khutbah kerana perut terlalu kenyang
  • Elakkan perut meragam dan mengganggu konsentrasi mendengar khutbah
  • Tak perlu bergegas makan dengan cepat
  • Dapat hadir ke masjid lebih awal dan gunakan waktu untuk beribadah sebelum khutbah bermula
  • Makan selepas solat sebagai ganjaran kepada diri sendiri kerana berjaya menunaikan ibadah fardhu
  • Dapat berjumpa dan makan bersama rakan-rakan yang jarang berjumpa kerana kesibukan kerja
  • Dapat jimat duit kalau bernasib baik kerana masjid yang kita pergi tu bagi makanan percuma ?

Kalau perut betul-betul rasa lapar sebelum solat, maka alaslah dengan makanan-makanan ringan seperti roti dan kuih-muih. Makanan berat-berat kita tangguh selepas solat. Mari kita gunakan waktu rehat untuk memperbanyak ibadah hari Jumaat. Insya-Allah. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: