Hariss Harun Jdt 12

Tanpa Import, JDT Tetap Gagah

Gandingan mantap tiga pemain serba boleh, Safawi Rasid, Ahmad Hazwan Bakri dan Syafiq Ahmad membolehkan Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta tiga kemenangan berturut-turut pada saingan Liga Super walaupun tanpa kelibat pemain import.

Malah, pemain tengah Hariss Harun menganggap pencapaian terbaik pasukan itu menewaskan Selangor 2-0, Kelantan 2-1 dan terbaru, Negeri Sembilan 4-0 membuktikan betapa kerjasama sepasukan menjadi tunjang utama mengutip mata maksimum.

Katanya, tiga perlawanan yang diharungi tanpa kelibat penyerang import dan hanya bergantung kepada Gonzalo Cabrera sememangnya sukar namun aksi konsisten Safawi, Ahmad Hazwan dan Syafiq memastikan JDT mencatat kemenangan.

“Kami ketepikan apa jua masalah terutama ketiadaan penyerang import dan beraksi dengan keyakinan dan semangat tinggi. Malah kami tidak kenal erti kecewa serta fokus sepanjang tiga perlawanan itu.

“Tidak dinafikan kami berdepan tiga perlawanan sukar dan pada masa sama, perlu mengharungi jadual padat dengan tempoh pemulihan yang singkat selain latihan taktikal tidak mencukupi. Tetapi semua itu mampu diatasi.

“Kekuatan mental dan fizikal memainkan peranan bagi mengharungi tiga perlawanan yang saya anggap begitu mencabar terutama menentang Kelantan dan Negeri Sembilan di gelanggang mereka,” katanya.

Apapun Hariss mengakui dia perlu berhati-hati pada pertembungan menentang Selangor di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu ini, selepas mengumpul dua kad kuning.

Menurutnya, berdepan Selangor pasti lebih mencabar walaupun skuad Harimau Selatan bakal diperkuatkan dengan kehadiran penyerang import, Harry Novillo dan Jorge Silva.

“Kehadiran dua pemain import baharu, Harry (Novillo) dan Jorge (Silva) dalam skuad JDT akan menambah kekuatan dan membentuk adunan serangan pemain import dan tempatan untuk harungi baki saingan liga yang lebih kompetitif,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: JDT II Lakar Kemenangan Pertama

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *