Norman Hakim

‘Telefon Setiap Hari Mohon Maaf’

KUALA LUMPUR: Pelakon, Norman Hakim reda terpaksa beraya tanpa anaknya, Mohamed Danish Hakim Mohd Nurhakim, 15, yang melanjutkan pengajian dalam bidang hafazan di Turki.

Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon, mengakui ketiadaan anak sulungnya itu membuatkan dirinya sunyi.

“Ini adalah Aidilfitri pertama disambut tanpa Danish di sisi. Secara jujur, saya tak tahu apa yang hendak dirasa sekarang. Mungkin pada Syawal pertama nanti baru saya rasa sedih.

“Tak mengapalah, saya tahu dia seronok menyambut hari raya bersama kawan-kawannya di sana. Lagipun, dia tidak boleh pulang kerana perlu menduduki peperiksaan akhir pada 2 Julai depan.

“Selepas tamat peperiksaan, dia akan pulang sekitar pertengahan bulan depan,” katanya kepada BH Online.

Suami kepada pelakon Memey Suhaiza itu memberitahu, setiap hujung minggu, Danish membuat panggilan video mengubat rindu.

“Danish diberi telefon pintar setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad. Jadi, setiap kali dia berhubung, dapatlah kami berinteraksi melalui panggilan video.

“Namun, biarpun tiada telefon di tangan, Danish akan menelefon saya setiap pagi menggunakan telefon awam. Setiap kali bercakap, dia meminta ampun daripada saya selain meminta saya berdoa untuknya.

“Danish tak pernah gagal menelefon saya, biarpun hanya untuk 30 saat. Dapatlah kami melepaskan kerinduan, cuma tak dapat peluk dan cium saja,” katanya.

Sebelum ini, Norman memberitahu, Danish menjadi antara 10 pelajar yang terpilih melanjutkan pengajian hafazan di sebuah institusi pengajian Islam, Mekke Kuran Kursu di Isparta, Turki.

Bersyukur dikurniakan anak yang mempunyai keinginan mendalami ilmu hafazan, Norman menjelaskan, perkongsian mengenai Danish bukanlah didorong rasa riak, sebaliknya untuk dijadikan teladan.

“Pada awalnya, saya takut berkongsi berita itu. Tapi selepas mendapat kekuatan daripada alim ulama, saya positif perkongsian ini untuk kebaikan orang ramai.

“Sebagai artis, kita selalu jadi ikutan masyarakat. Inilah platform saya untuk berkongsi dengan orang lain,” katanya yang dilantik sebagai duta World #QuranHour.

Danish adalah anak hasil perkongsian hidupnya dengan bekas isteri, Abby Abadi. Selain Danish, Norman mempunyai dua lagi anak dengan Abby iaitu Marissa Dania Hakim, 13, dan Maria Danisha Hakim, 10.

Bersama isterinya sekarang, Memey Suhaiza, Norman mempunyai dua cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 5 dan Muhammad Dikhriz Hakim, 3.

Mengenai sambutan Aidilfitri, Norman akan berkumpul bersama Memey, Abby dan seisi keluarga pada petang hari raya pertama selepas pulang dari kampungnya di Kuantan.

Selepas itu, dia dan Memey akan pulang ke Felda Tenggaroh, Johor untuk beraya bersama keluarga isterinya pula.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *