Jurulatih Irfan Bakti

Terengganu FC Tetap Waspada Bertemu JDT

Biarpun skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) turun tanpa kelibat bekas penyerang utamanya, Jorge Pereyra Diaz yang meninggalkan pasukan, pemain Terengganu FC (TFC) tetap melihat skuad itu lawan yang berbisa.

Hal ini diluahkan arkitek skuad Penyu, Mohd Faiz Mohd Nasir yang menyatakan taji JDT masih tajam dan perlu diberi perhatian rakan sepasukan dalam misi mengutip tiga mata di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

[AdSense-B]

Selain itu, Mohd Faiz yang digelar ‘Messi Terengganu’ juga turut menyatakan skuad JDT adalah pasukan terkuat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sebagaimana yang dibuktikan sejak empat tahun lalu dan pemain TFC harus berwaspada.

“Bagi saya skuad JDT yang kini mendahului Liga Super tetap lawan yang sukar dan bahaya serta harus diberi perhatian oleh rakan sepasukan walaupun tanpa penyerang utamanya, Diaz.

“Hal ini kerana mereka masih mempunyai penyerang yang mampu menghasilkan jaringan seperti Luciano Figueroa dan Ahmad Hazwan Bakri,” kata Mohd Faiz.

TFC yang kembali beraksi dalam saingan Liga Super, sedang menduduki tangga kedua liga selepas hanya ketinggalan satu mata berbanding JDT.

[AdSense-B]

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu tetap percaya skuadnya juga mempunyai kelebihan dan keupayaan tersendiri untuk menundukkan lawan biarpun JDT pasti datang dengan misi untuk mengekalkan kedudukan teratas liga.

“Kejayaan melakar kemenangan 4-0 ke atas PJ Rangers FC, Sabtu lalu selain menjadi satu-satunya pasukan yang belum tewas selepas empat perlawanan mampu meningkatkan lagi moral saya dan rakan sepasukan untuk melebarkan lagi kemenangan sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah,” kata Mohd Faiz yang mahu pemain yang disenaraikan memperaga aksi terbaik untuk mengekang corak permainan JDT.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Piala AFC 2018: JDT, Tampines Rovers Berkongsi Mata

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: