Irfan Bakti Tfc

TFC Sedia Kejutkan JDT

KUALA TERENGGANU: Laluan berliku bakal menanti skuad Terengganu FC (TFC), apabila berdepan dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam esok.

Bagaimanapun pengendali skuad Penyu, Irfan Bakti Abu Salim mengakui pemainnya tidak tertekan dengan reputasi skuad Harimau Selatan itu yang begitu kebal sebaliknya beliau percaya pemainnya mampu melakukan kejutan walaupun beraksi di laman lawan.

“Kita tahu skuad JDT adalah sebuah pasukan yang mantap di semua posisi, tapi kita sudah merangka strategi dan bakal melakukan beberapa perubahan dalam usaha untuk memerangkap skuad itu.

“JDT boleh ditewaskan di tempat mereka dan jika kita lihat kepada rekod skuad Pahang pernah menundukkan JDT, begitu juga ketika saya membimbing pasukan Felda United kami menang di sana dalam saingan suku akhir Piala Malaysia.

“Jadi bagi saya apa-apapun boleh berlaku dalam perlawanan malam esok lebih-lebih lagi aksi pertama selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri,” kata Irfan yang pernah membimbing kelab Persipura Jayapura dalam Liga Indonesia itu.

Dalam aksi pusingan pertama pada Mac lalu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, skuad bimbingan Raul Longhi itu berjaya mencalar rekod tanpa kalah skuad Penyu apabila menang 1-0 hasil jaringan pemain pertahanan importnya, Marcos Antonio.

Mengulas lanjut, Irfan menarik nafas lega apabila semua pemain utamanya bebas daripada sebarang kecederaan dan penggantungan perlawanan selain cergas sepenuhnya biarpun selepas sambutan Aidilfitri.

“Apa yang saya harapkan pemain mampu memperagakan aksi sebenar selain tidak terikut-ikut rentak permainan lawan dan mencari jaringan awal untuk menyuntik semangat pemain sekali gus memberi tekanan kepada lawan.

“Namun saya ingatkan kepada pemain skuad lawan bukan mudah untuk ditundukkan, mereka bijak menggunakan peluang terhidang untuk disudahkan dengan jaringan, justeru semua pemain harus peka dan bijak memainkan peranan di posisi masing-masing.

“Pemain pertahanan juga perlu mengawal ketat penyerang mereka, Fernando Marquez daripada bergerak bebas selain mengharapkan jentera tengah tidak membiarkan barisan tengah JDT bermaharajalela yang pasti bakal mengundang padah jika tidak diawasi,” kata Irfan.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: