Tiada Alasan Buat JDT Untuk Gagal Ke Final Piala Malaysia 2017

Tiada Alasan Buat JDT Untuk Gagal Ke Final Piala Malaysia 2017

 

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais mencongak strategi baharu untuk mengharungi aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia berdepan Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam esok.

Jurulatih kelahiran Portugal itu menjelaskan, tiada alasan buat JDT untuk gagal ke final piala berprestij itu berdasarkan banyak kelebihan yang kini memihak mereka.

“Selepas 90 minit (separuh akhir) pertama, kami pulang dengan meraih keputusan yang bagus. Aksi kedua di gelanggang sendiri, di hadapan penyokong kami, malah semua kelebihan yang kami ada.

“Ini peluang terbaik, kami sudah selangkah ke final, namun perlu menamatkan aksi kedua dengan keputusan yang baik.

“Kadang-kadang kami tidak boleh beraksi dengan corak permainan sama. Jadi, kami akan lakukan persediaan terbaik dengan strategi berbeza,” kata Morais yang sudah merangkul kejuaraan Liga Super bersama JDT musim ini.

JDT membawa harapan besar rakyat Johor untuk membawa semula Piala Malaysia ke negeri itu selepas 26 tahun.

Kali terakhir Piala Malaysia singgah di bumi Johor adalah pada 1991 selepas pasukan utama negeri itu menewaskan Selangor 3-1 di pentas akhir.

Bagi kelab JDT, Piala Malaysia menjadi satu-satunya trofi saingan tempatan yang masih belum dijulang mereka apabila terlepas peluang itu ketika tewas 4-5 menerusi penentuan penalti kepada Pahang di final 2014.

Morais jangka cabaran sengit

Selain itu, Morais meletakkan kepercayaan tinggi buat pemainnya untuk memastikan tiket ke final menjadi milik mereka.

“Semua pemain ada kualiti dan moral mereka ketika ini cukup baik. Walaupun seri 1-1 pada aksi pertama, namun kelebihan tetap milik kami,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Hafizul Yakin JDT Bukan Kebal

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: