Baikhati

Tindakan Yang Terpuji Meskipun Kelihatan Kecil, Perasan Ke Tidak?

Baru-baru ini, tular sebuah imej GIF di laman sosial. Walau bagaimanapun, ada yang mengaku bahawa mereka mengalami kesukaran dalam mengesan motif di sebalik tularnya imej tersebut. Adakah anda dapat mengesan apa yang tersirat di dalam imej ini?

Pada mulanya, imej ini dikongsikan di laman sesawang Reddit oleh seorang pengguna iaitu ulordbaby di bawah bebenang r/oddlysatisfying. Bagaimanapun, pengguna tersebut tidak menjelaskan lokasi kejadian dan bila ia berlaku.

Imej itu kemudian dikongsikan di dalam sebuah artikel oleh portal berita The Daily Good dan juga di beberapa laman sesawang lain. Setakat ini, artikel berkenaan mendapat lebih 1400 perkongsian Facebook.

Sumber Foto: Giphy
Apa yang tak kena ya?

Masih tidak perasan apa yang berlaku di dalam imej berkenaan? Berikut adalah penjelasannya. Imej itu diambil di dalam sebuah pengangkutan awam persis transit aliran ringan. Ia memaparkan aksi seorang pemuda menggunakan tangannya untuk menghalang kepala seorang wanita warga emas daripada terhantuk palang besi.

Kelihatan wanita terbabit seperti terlelap dan tersengguk-sengguk hingga kepalanya nyaris terhantuk palang besi. Cuba perhatikan mata pemuda itu. Ia tidak lekang dari memerhatikan keadaan wanita berkenaan!

Tindakannya telah melindungi wanita itu daripada sebarang kecederaan. Cuba perhatikan imej pegun di bawah.

Sumber Foto: Giphy

Kadangkala, bukan susah untuk melakukan sedikit kebaikan. Bak kata pepatah, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Sedikit kebaikan yang kita lakukan barangkali membawa makna yang besar kepada mereka yang memerlukan, sekali gus membawa kebaikan kepada diri kita sendiri.

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: