Tmj

TMJ turut kecam pengadil

KUALA LUMPUR: Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempertikaikan kredibiliti pengadil tempatan yang dianggapnya ‘lemah’ berbanding pengadil dari negara lain.

Jelas pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, insiden pergaduhan membabitkan aksi Kumpulan B antara Johor dan Terengganu di Sukan Malaysia (SUKMA) di padang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim semalam, boleh dielakkan sekiranya pengadil bertindak lebih tegas dalam aksi berkenaan.

Menurutnya, insiden memalukan itu seolah mengulangi skrip sama ketika aksi persahabatan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam bulan lalu yang menyaksikan kedua-dua pasukan bergaduh ekoran kegagalan pengadil tempatan gagal mengawal perlawanan dengan baik.

Pada aksi itu, anak buah Datuk Ong Kim Swee berjaya menewaskan UAE dengan 2-0 sebelum pemain lawan bertindak kasar di hujung saingan.

“Saya tidak gemar melihat perkara sebegini. Kelakuan ini tidak digalakkan untuk kedua-dua pihak,” katanya menjawab kepada pertanyaan salah seorang peminat di akaun Twitter miliknya hari ini.

“Saya juga merasakan pengadil gagal mengawal perlawanan itu dengan baik. Seperti Malaysia B-23 menentang UAE bulan lalu di mana pengadil tidak dapat kawal perlawanan tersebut.”

Menurut bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu lagi, Jawatankuasa Pengadilan FAM digesa supaya bangkit memperbaiki kelemahan itu dengan segera dan meningkatkan kualiti pengadil tempatan.

“Banyak kali (kelemahan pengadil) dan benda seperti ini juga berlaku di Liga Super. Contoh, perlawanan di Piala AFC dan Liga Juara-Juara AFC sangat ‘smooth’ dan bagus. Mutu pengadilan di negara kita harus diperbaiki. Segera,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards turut mengkritik mutu pengadilan dan meminta FAM melihat standard pengadil yang disediakan untuk kejohanan itu.

Dalam aksi itu, Johor tewas 1-2 kepada Terengganu dan sah tersingkir daripada saingan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: