Inilah 7 Cara Hilangkan Kerak Kepala Bayi Dengan Berkesan
“Bila dah botakkan kepala baby ni barulah nampak kerak-kerak kepala dia. Kesian pula tengok dah macam bersisik ni. Apa nak buat ya?”
Awalnya mungkin nampak seperti kegatalan atau kelemumur nipis. Namun lama-kelamaan, ia boleh boleh mengakibatkan kerak yang keras dan sisik putih atau kuning pada kulit kepala bayi yang melekat pada rambut. Menurut Portal MyHealth, kondisi ini dikenali sebagai ‘infantile seborrheic dermatitis’ atau ‘cradle cap’.
Walaupun tidak merbahaya, tetapi ia mengambil masa untuk dihilangkan. Berikut adalah beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menghilangkan kerak kepala bayi ini.
KENAPA BAYI SAYA ADA KERAK KEPALA?
Kerak kepala pada bayi baru lahir dipercayai terhasil akibat hormon yang tertinggal dalam badan bayi semasa proses kehamilan. Hormon ini merangsang kelenjar untuk mengeluarkan cairan yang menyebabkan sel-sel kulit berkumpul membentuk lapisan. Selain itu, ia juga dikaitkan dengan pembawaan genetik, seperti ekzema, termasuk masalah kulit yang lain, seperti kelemumur.
1. GUNA MINYAK & SIKAT
Sediakan minyak yang sesuai untuk bayi yang berkulit sensitif. Boleh sapukan minyak kelapa, minyak zaitun, atau apa-apa minyak – sebaiknya yang organik. Biarkan beberapa minit atau beberapa jam. Kemudian bilas rambutnya sambil mengeluarkan serpihan kulit kepala perlahan-lahan menggunakan sikat berberus halus.
Foto Kredit: medicalneswtoday.com
2. LAPKAN RAMBUT / KEPALA BAYI
Satu lagi cara adalah dengan meletakkan minyak pada kain lampin / tuala kecil. Kemudian gosok atau lapkan perlahan-lahan pada bahagian kepala bayi yang berkerak.
Memang terasa ‘geram’ bila tengok keruping-keruping pada kepala bayi. Kalau boleh nak kopek-kopek dengan jari, kan? Sebenarnya perbuatan ini perlu dielakkan sebab ia boleh menjadi punca berlakunya jangkitan atau iritasi. Jangan pula terlalu kasar menggosok kepala bayi kerana ia masih lembut. Takut nanti melecet dan semakin teruk sekiranya terluka.
3. GUNAKAN SYAMPU
Setelah disapukan minyak dan digosok kepalanya, anda boleh terus mencuci rambut bayi semasa mandi dengan menggunakan syampu yang sesuai. Semasa mencuci, longgarkan keruping dengan menggosok-gosok kerak kepala bayi dengan perlahan. Boleh juga menggunakan berus khas agar bayi lebih selesa.
4. ELAKKAN BEDAK
Setelah mandi, elakkan menggunakan bedak di kepala bayi atau berhampiran kawasan yang berkerak, contohnya kening atau telinga. Ia boleh menyebabkan berlakunya pengumpulan bedak yang tersangkut pada bahagian hujung terbentuknya kerak.
5. POTONG PENDEK / CUKUR RAMBUT BAYI
Walaupun sayang dengan rambut bayi, namun kondisi ini sebenarnya lebih mudah dikendalikan apabila rambutnya pendek atau dicukur botak. Apabila rambut lebih pendek, keradangan mudah diatasi dikesan dan dapat diatasi dengan cepat. Sebaliknya, ia boleh tersorok di bawah rambut-rambut tebal lalu menyebabkan keradangan.
Kadangkala, ibu ayah hanya perasan adanya kerak kepala bayi ini apabila rambutnya telah dicukur. Ini juga salah satu hikmah disunatkan mencukur kepala bayi yang baru lahir dalam Islam – iaitu untuk menjaga kebersihan kulit kepala bayi.
6. JANGAN SELALU PAKAIKAN TOPI
Walaupun nampak comel, jangan selalu pakaikan bayi dengan topi kerana kulit kepala bayi boleh menjadi lembab dan berpeluh. Usahakan juga agar suhu bilik sentiasa berangin dan tidak terlalu panas.
Hal ini boleh menjadi punca ketidakselesaan dan kegatalan serta boleh menimbulkan keradangan.
7. DAPATKAN KRIM KHUSUS
Sekiranya kerak kepala bayi terlalu tebal dan membimbangkan, bawalah bayi berjumpa doktor. Doktor akan mempreskripsikan krim yang khas untuk merawat kulit kepala bayi.
Dalam kes-kes yang teruk di mana kerak kepala telah menjadi radang atau mendapat infeksi, doktor mungkin akan mempreskripsikan krim anti-fungus untuk menanganinya.
Foto Kredit: Getty Images
JANGAN PANDANG REMEH WALAUPUN IA NAMPAK TAK SERIUS
Kerak kepala bayi ini biasanya akan hilang dengan sendiri dalam beberapa bulan. Dengan penjagaan dan rutin yang kerap, ia mungkin juga dapat diatasi dalam beberapa minggu. Walaubagaimanapun, jangan ambil mudah dan mengabaikan penjagaannya.