Cara Untuk Pagarkan Rumah, Kedai, Pejabat dan Sebagainya Dari Anasir Jahat & Makhluk Halus
Mungkin masih ada yang belum tahu bagaimana cara-cara untuk pagar rumah, kedai, pejabat dan sebagainya daripada anasir-anasir jahat seperti makhluk halus, kuasa jahat dan banyak lagi.
Kepada mereka yang ingin memasuki rumah baru, rumah sewa, rumah yang diduduki selama ini dan apa saja yang secara tiba-tiba terasa seakan ada makhluk lain yang datang menganggu, ahli keluarga yang mengadu tidak boleh tidur, ditindih, ternampak sesuatu atau ada rasa seperti suasana dalam rumah tidak seperti sebelumnya. Mungkin ini adalah antara satu jalan penyelesaian.
Pertama sekali anda harus memastikan rumah anda tidak mempunyai sebarang tangkal, pelaris, ibu duit, minyak pengasih atau apa saja yang sepertinya, sila kumpulkan dan musnahkan saja terlebih dahulu.
Musnahkan barang-barang tersebut dengan menggunakan air yassin selama sehari di luar rumah. Kemudiannya anda boleh bungkuskan dan masukkan dalam plastik lalu ditanam, dibakar atau dibuang ke dalam sungai yang jauh dari kawasan kediaman sendiri.
Kaedahnya:
- Buka semua pintu depan, belakang, pintu bilik dan pintu bilik air rumah.
- Ambil Air Sembahyang
- Hamparkan sejadah di tengah-tengah rumah.
- Azan.
- Selesai Azan tutup semua pintu yang telah dibuka tadi.
- Solat Hajat 2 rakaat (selesai solat memperbanyakkan berzikir dan berdoa)
- Sebaiknya dilakukan pada waktu malam.
NOTA:
Apa pun pagar yang anda ikhtiarkan, yang paling utama sekali ialah penghuni rumah tersebut. Anda haruslah menjaga suasana kerohanian di dalam rumah.
Hidupkan suasana rumah anda dengan solat, mengaji, zikir, ibadah seluruh isi keluarga dengan ikhlas sepenuh pengharapan pada Allah SWT.
Jadilah rumah anda sebagai rumah orang Islam, buang semua gambar-gambar artis yang ada di dinding, buang tangkal-tangkal azimat, buang patung-patung yang menyerupai makhluk bernyawa, elakkan perkara berunsur zina dalam rumah dan kurangkan dimain muzik-muzik yang melalaikan.
Inilah antara punca rosaknya suasana kerohanian di dalam rumah sehingga anda sendiri yang sebenarnya membuka ruang yang besar dengan dibentang karpet merah berserta bunga api bagi mengalu-alukan kehadiran syaitan memasuki rumah anda. Jaga hubungan kita dengan Allah SWT, maka Allah SWT akan jaga kita, Wallahualam.
Insya Allah.
Jangan tinggalkan Amalan ini kerana rumah yang sentiasa dilaungkan azan dan membaca suruh Al-Baqarah syaitan atau jin tidak berani. – Mizuri Hani