Subhanallah. Kenapa Perlu Amalkan Membaca 10 Ayat Terakhir Surah Ali-Imran?
Rasulullah ﷺ sentiasa mengamal dan membaca 10 ayat terakhir daripada surah Ali Imran selepas bangun daripada tidurnya. Maka setiap muslim digalakkan untuk menteladani dan mengamalkan apa yang telah Baginda ﷺ contohkan terutama ketika bangun untuk solat Tahajjud dalam usaha memulia dan menghidupkan sunnahnya. Kenapa kita perlu membaca 10 ayat terakhir surah ali-imran? Jom baca sampai habis!
Maksud Surah Ali Imran: Ayat 191 – 200
(191) Orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Dikau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Dikau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
(192) Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya sesiapa yang Dikau masukkan ke dalam neraka, maka sesungguhnya Dikau telah menghinakannya, dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolongpun.
(193) Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami mendengar (seruan) yang menyeru kepada iman, (iaitu): “Berimanlah kamu kepada Tuhanmu”, maka kamipun beriman. Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami beserta orang-orang yang banyak berbakti.
(194) Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Dikau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Dikau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Dikau tidak memungkiri janji”.
(195) Maka Tuhan mereka memperkenankan doa mereka (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal di kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain. Maka orang-orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Ku-hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, sebagai pahala di sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang baik”.
(196) Janganlah sekali-kali kamu terperdaya oleh kebebasan orang-orang kafir bergerak di dalam negeri.
(197) Itu hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat tinggal mereka ialah Jahannam; dan Jahannam itu adalah tempat yang seburuk-buruknya.
(198) Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya, bagi mereka syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya sebagai tempat tinggal (anugerah) dari Allah. Dan apa yang di sisi Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang berbakti.
(199) Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah amat cepat perhitungan-Nya.
(200) Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan tingkatkanlah kesabaran kamu dan bersedialah serta bertaqwalah kepada Allah supaya, kamu berjaya.
Daripada Ibnu Abbas radliyallahu anhuma, bahawa ia telah mengkhabarkan bahawa dia pernah bermalam di rumah Maimunah isteri Nabi ﷺ (ibu saudaranya). Dia berkata, “Lalu aku tidur dengan meletakkan kepala di tepi bantal, sementara Rasulullah ﷺ dan isterinya berada di tengah-tengah bantal. Kemudian Rasulullah ﷺ tidur hingga ketika tengah malam (atau sebelum tengah malam kurang sedikit atau setelah tengah malam lewat sedikit).
اسْتَيْقَظَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم فَجَلَسَ يَمْسَحُ النَّوْمَ عَنْ وَجْهِهِ بَيَدِهِ ثُمَّ قَرَأَ اَلْعَشْرَ اْلآيَاتِ اْلخَوَاتِمَ مِنْ سُوْرَةِ آلِ عَمْرَانَ
Rasulullah ﷺ bangun lalu duduk sambil mengusap bekas kesan tidur daripada mukanya dengan tangannya. Kemudian membaca 10 ayat terakhir daripada surah Ali Imran sehingga selesai.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Ibnu Majah.)