TAKUT KUCING 1024×614

Rupanya Ini Sebab Kucing Suka Pergi Dekat Orang Yang Fobia Dengannya

Kalau bukan anda yang takut kucing, mesti ada salah seorang ahli keluarga atau rakan terdekat yang mencicit lari bila nampak kucing. Yang peliknya, kucing pula makin suka nak ikut dia.

Sebenarnya ada sejenis fobia yang khusus dikaitkan dengan kucing, iaitu ailurophobia. Perkataan ini berasal daripada perkataan ailurous (αἴλουρος) iaitu ‘kucing’ dan phobos (φόβος) iaitu ‘takut’ atau fobia dalam bahasa Greek. Nama lainnya juga dikenali sebagai felinophobia.

BENARKAH KUCING TERTARIK PADA ORANG YANG TAKUT DENGANNYA?

Kadang-kadang orang tak faham macam manalah ada yang boleh rasa takut dengan haiwan yang amat comel dan cerdik ini. Mereka cakap, lagi kita takut pada kucing, lagilah kucing tu akan suka dan datang pada kita.

Menurut  Dr. Jessica Vogelsang, kenyataan ini ada benarnya dari sudut saintifik. Dalam sebuah artikel menerusi PetMD, kucing lebih cenderung untuk mendekati seseorang yang ‘takut’ atau tidak menghiraukannya kerana mereka tidak memperlihatkan sebarang unsur ancaman kepada kucing tersebut.

Yalah, mereka ini selalunya tak akan menyentuh kucing, melihat kucing, dan kalau boleh memang tak nak dekat dengan kucing langsung! Dalam erti kata lain, kucing lebih sukakan orang yang takut padanya sebab ia akan berasa lebih selamat.

Jika dibandingkan dengan orang yang sukakan kucing pula, selalunya golongan ini akan menunjukkan ‘eye contact’ atau menyentuh bulunya sebab ‘geram’ pada kucing tersebut. Tindakan seperti ini dianggap sebagai dominan dan kalau tak kena cara, ada kucing yang rasa terancam apabila diperlakukan sedemikian. Oleh sebab itulah kucing akan cuba menjauhi sesetengah pencinta kucing dan mahu mendekati mereka yang ‘fobia’ padanya.

FOBIA BOLEH DIATASI

Selalunya orang yang takut kucing ini mungkin pernah dicakar, digigit, alah terhadap bulunya atau memang tak biasa didedahkan dengannya sewaktu kanak-kanak. Walaubagaimanapun, pakar berpendapat bahawa fobia pada kucing memang boleh diatasi sekiranya kita faham ‘body language’ haiwan ini. Barulah kita dapat menyentuh mereka dengan cara yang betul dan tidaklah tiba-tiba dicakar oleh haiwan yang comel ini.

Jadi, bagi siapa yang takut kucing tu, mungkin lain kali jangan tunjukkan sangat ekspresi ‘fobia’ anda supaya kucing tak datang dekat, kan?

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: