Resepi Sup Tauhu Telur Yang Sihat & Berkhasiat. Anak Mesti Suka
“Anak aku ni asyik-asyik nak makan sup aje… Aku pulak yang naik bosan. Balik-balik sup ayam, sup daging, sup fishball. Apa lagi resepi sup yang lain sikit ya?”
Anak-anak memang sukakan sup. Mungkin kerana rasanya yang simple dan tak pedas, ia menjadi pilihan untuk dimakan pada bila-bila masa. Sesekali, cuba variasikan masakan anda dengan sup tauhu telur ini. Cara membuatnya sangat mudah.
Menurut tuan punya resepi, Puan Siti Zanariah Khalit, inilah lauk kegemaran anak-anaknya. Bukan saja sedap, tapi ia juga dapat disediakan dengan cepat. Jom kita ikuti resepi beliau ini selengkapnya di bawah.
RESEPI SUP TAUHU TELUR
Berikut adalah bahan-bahannya:
BAHAN-BAHAN
- Tauhu telur
- Bawang putih – cincang
- Serbuk lada hitam
- Udang / isi ayam
- Sos tiram – anggaran 2 sudu besar
- Cendawan shimeji / fresh shitake
- Lobak merah – hiris halus memanjang
- Daun sup – hiris
- Tepung ubi – bancuh dengan sedikit air (kalau nak ganti dengan tepung jagung pun boleh)
- 2 biji telur – pukul dengan garfu
- Garam
- Serbuk perasa (kalau suka)
Bagi yang tak tahu, beginilah rupa tauhu telur tu. Di paketnya tulis egg tofu. / Foto Kredit: vietworldkitchen.com
CARA-CARA
1. Goreng Tauhu
- Sebelum membuat sup, potong dulu tauhu untuk digoreng. Pastikan minyak betul-betul panas baru masukkan tauhu. Bila dah kekuningan baru terbalikkan supaya tak hancur. Bila dah siap goreng, angkat, tos dan ketepikan.
2. Tumis Bahan
- Sekarang sediakan periuk untuk memasak supnya pula. Mula-mula tumis bawang putih dengan sedikit minyak. Seterusnya masukkan udang / ayam dan serbuk lada hitam.
3. Tunggu Mendidih
- Seterusnya masukkan sos tiram, air dan cendawan. Tunggu hingga mendidih.
4. Perasakan
- Bila dah mendidih, masukkan lobak merah dan perasakan dengan garam.
5. Tuang Bancuhan Tepung Ubi
- Sambil kacau kuah sup, tuang bancuhan tepung ubi. Jangan sampai bergentel ya. Sekiranya guna tepung ubi, jangan terlalu banyak sebab bila makan nanti akan membuatkan lidah seperti ‘bergam’.
6. Masukkan Tauhu
- Selepas itu, masukkan tauhu yang sudah digoreng.
7. Tuangkan Telur
- Kemudian, perlahankan api dan tuangkan telur yang sudah dipukul tadi secara lingkaran (maksudnya jangan tuang setempat). Biarkan dalam dalam beberapa saat. Tutup api kemudian baru dikacau. Tujuannya supaya telur tu nampak seperti ‘bertali’.
8. Tabur Daun Bawang
- Akhir sekali baru tabur daun bawang dan kacau rata. Siap!
BOLEH DINIKMATI SEISI KELUARGA
Wah, mudahkan? Nampak begitu menyelerakan. Kombinasi bahan-bahannya pula sangat menyihatkan. Sebab itulah ia memang sesuai untuk dinikmati oleh seisi keluarga – dari peringkat bayi hinggalah yang dah tak ada gigi. Boleh ubahsuai ikut citarasa sendiri. Memang lazat dimakan, terutamanya bila cuaca sejuk.
Selamat mencuba!