Peluang Izham Dan Fazly Tebus Kecewa
Dua tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT) Izham Tarmizi Roslan dan Fazly Mazlan yang dipinggirkan pada final Piala Malaysia 2014 bakal menjadi watak penting dalam pemburuan kejuaraan hari ini.
Penjaga gol Izham tiada dalam skuad Harimau Selatan itu pada final tiga tahun lalu menentang Pahang kerana mengalami kecederaan buku lali ketika mewakili negara di Sukan Asia Incheon.
[AdSense-B]Bagi pemain berusia 26 tahun itu, dia sudah bersedia untuk menjadi benteng terakhir JDT berdepan juara bertahan Kedah di Stadium Shah Alam hari ini.
“Kali terakhir Piala Malaysia dibawa ke Johor pada 1991, sudah sebaya dengan usia saya 26 tahun. Saya rasa inilah masanya untuk kami hadiahkan kepada penyokong JDT.
“Kita tahu Kedah pasukan baik musim ini, kita juga tahu mereka memiliki beberapa pemain dengan kemahiran individu yang baik. Tapi jurulatih ada taktikal tersendiri apa yang kita perlu buat, saya rasa untuk final ini kita ada peluang, Kedah juga ada peluang tapi pasukan yang baik akan menang final ini,” katanya.
Sementara itu nasib sama menimpa pertahanan kiri Fazly yang sekadar menjadi penonton menyaksikan JDT tewas kepada Pahang menerusi penentuan sepakan penalti 3-5 selepas aksi 120 minit berakhir dengan seri 2-2.
[AdSense-B]Dia yang terpaksa diketepikan selepas digantung perlawanan bakal berdepan cabaran hebat untuk mengekang kemaraan pemain sayap dan bek kanan Helang Merah Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali.
“Memang kecewa sebelum ini saya hanya datang ke final sebagai penonton. Harapan saya mahu bermain habis-habisan bagi membantu JDT memenangi perlawanan penting ini menentang Kedah. Saya jangkakan perlawanan sukar apatah lagi saya bakal mengawai dua pemain bahaya Rizal dan Baddrol,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Baca juga: Ulisses Morais Sudah Mempunyai Strategi Terbaik Untuk Memerangkap Kedah