Sekali pun turun selaku juara bertahan, ketua jurulatihnya, Ramon Marcote berkata, status tersebut tidak memberi sebarang kelebihan buat Kedah, apatah lagi skuad Harimau Selatan yang dibimbing Ulisses Morais dianggap serba lengkap.
JDT Gergasi, Bukan Kedah – Ramon Marcote
Kedah lebih selesa mengambil sikap merendah diri menjelang pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Piala Sumbangsih di Larkin pada 3 Februari depan.
Pengendali dari Sepanyol itu berkata, melihat senarai barisan pemain JDT sahaja, peminat bola sepak tempatan pasti sedia maklum keampuhan pasukan mereka yang ketika ini dianggap gergasi Liga Malaysia.
[AdSense-B]“Segalanya lengkap buat mereka, memiliki kemudahan latihan terbaik, malah saya rasa mereka mempunyai sehingga tujuh pemain import, termasuk berstatus naturalisasi.
“Jadi, secara jelasnya mereka pasukan pilihan berbanding Kedah,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan skuad Lang Merah menewaskan Pulau Pinang 2-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Negeri di sini semalam.
Ketika ditanya sama ada persediaan Kedah mencukupi untuk berdepan JDT, bekas jurulatih akademi Atletico Madrid itu memberitahu, dia ‘masih belum membuat sebarang persiapan’ ketika ini.
“Mungkin seminggu sebelum berlepas ke Larkin, saya akan atur beberapa strategi mengikut kemampuan kami,” katanya.
Pada masa sama, Marcote menambah, dia teruja melihat peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh beberapa pemain mudanya, termasuk Akmal Azmi dan Farhan Abu Bakar dalam siri perlawanan persahabatan di Indonesia baru-baru ini.
“Selain itu, pemain import baharu, Pablo Pallares yang semakin menunjukkan keserasian dengan rakan sepasukan yang lain dan ini sangat penting kerana untuk menentang JDT, saya memerlukan kesemua pemain utama seperti Liridon Krasniqi, Sandro Mendoza dan Baddrol Bakhtiar berada dalam prestasi terbaik mereka,” katanya.
[AdSense-B]Menurutnya, pasukan Lang Merah sekali lagi akan diuji dalam perlawanan persahabatan menentang Suphanburi FC dari Thailand di Stadium Darul Aman, Rabu depan.
Sementara itu, ditanya mengenai pemain import kuota ASEAN yang masih menjadi teka teki, dia memberitahu, persatuan sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara tersebut.
“Bagi mendapatkan pemain import ASEAN yang penuhi syarat memiliki sekurang-kurangnya 30 cap antarabangsa sebenarnya agar sukar, selain itu beberapa kriteria lain perlu dipertimbangkan,” ujarnya.
Sumber: Utusan
Baca juga: Previu Perlawanan: Kelayakan Piala ACL 2018, Muangthong United vs JDT