JDT II Vs Felcra Fc

JDT II Terus Kempunan Kemenangan

Johor Darul Ta’zim II (JDT II) terus berada di dasar liga tanpa sebarang kemenangan tatkala beraksi di laman sendiri selepas tewas 1-2 kepada FELCRA FC pada saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, sebentar tadi.

Kekalahan itu semestinya memberi tamparan buat skuad Merah Biru yang masih tercari-cari tiga mata berharga selepas mengharungi aksi kelapan saingan liga ketika FELCRA FC selaku pendatang baharu kekal dengan rekod tanpa kalah untuk membayangi pendahulu, FELDA United.

Asakan bertali arus skuad kendalian Benjamin Mora sebaik aksi bermula masih belum mampu menjelmakan jaringan gol diinginkan sebaliknya benteng anak didik Tarcisio Pugliese berjaya menghalang percubaan berbahaya.

[AdSense-B]

Pelawat tampak lebih gemar beraksi dengan corak permainan bertahan apabila jarang melakukan serangan tatkala aksi memasuki minit ke-26 apabila penjaga gol tuan rumah, Ernest Wen langsung tidak diuji.

Namun selang empat minit kemudian akibat kelekaan benteng pertahanan, tuan rumah memudahkan tugas Fandi Othman melorongkan bola kepada David Laly yang bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola kencang menewaskan Ernest.

Tersentak dengan jaringan itu, tuan rumah seolah-olah hilang punca dan gagal mempamerkan corak permainan konsisten apabila sering kehilangan bola dan tidak mampu untuk melakukan percubaan ke pintu gol lawan malah Hadi Fayyadh Abdul Razak seakan-akan hilang sentuhan penyudah.

Malang buat tuan rumah apabila gol dijaringkan Bruno Soares pada minit ke-49 selepas menanduk bola hasil sepakan percuma D Saarvindran dibatalkan oleh pengadil perlawanan, S Logeswaran selepas mengesan kekasaran berlaku ke atas penjaga gol Fadzley Abdul Rahim.

[AdSense-B]

Usaha berterusan tuan rumah akhir berjaya menyamakan jaringan pada minit ke-55 selepas berlaku kekalutan di dalam kotak penalti dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya Hadi Fayyadh untuk merembat bola leret menewaskan Fadzley.

Bagaimanapun FELCRA FC melenyapkan sisa perjuangan tuan rumah selepas gol pada minit ke-80 dijaringkan oleh Mohd Alif Samsudin memastikan pasukan itu pulang dengan tiga mata berharga.

Sumber: Berita Harian

Baca juga: Safiq Tak Mahu Kelantan Tambah Duka JDT

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: