Tanjung Agas

Naik Taraf Tanjung Agas Siap Januari 2019

Projek naik taraf taman awam di tepian Sungai Muar, Tanjung Agas bernilai RM3.08 juta yang dijangka siap Januari 2019 bakal memberi aura dan pemandangan baharu kepada pengunjung.

Ia berikutan kerja-kerja penambahbaikan akan mengubah keseluruhan wajah dan reka bentuk taman rekreasi berkenaan dalam usaha mengindahkan lagi kawasan yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk bersantai.

Menurut Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak (MDT), Ezahar Abu Sairin, kawasan rekreasi itu dinaik taraf kepada konsep taman awam berikutan lokasi strategik terletak di hadapan pintu utama memasuki daerah ini dari Jambatan Sultan Ibrahim, Muar.

[AdSense-B]

“Kita mahu wujudkan suasana yang mana sebaik pengguna jalan raya masuk ke daerah ini, mereka mendapat satu pemandangan menarik dan merasakan kedatangan mereka dialu-alukan.

“Ia sama seperti aura sense of welcoming untuk pengunjung luar yang melalui daerah ini dan melintasi kawasan taman awam,” katanya ketika ditemui.

“Projek yang bermula sejak September lalu ini dianggarkan siap pada 28 Januari 2019 dan peruntukan diperoleh daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini.

“Sebaik projek taman awam ini siap, MDT akan menguatkuasakan kawasan rekreasi berkenaan untuk diwartakan sekali gus mewujudkan beberapa peraturan seperti larangan merokok dan sebagainya dalam usaha menjaga kebersihan dan kesegaran di sini,” katanya.

Menurut Ezahar, selain memberikan pemandangan baharu buat pengunjung luar, kawasan itu juga dinaik taraf kerana sering menerima kunjungan penduduk beriadah.

[AdSense-B]

“Lokasi ini memang sudah sebati dengan penduduk di sini kerana kebanyakan pengunjung gemar bersantai bersama keluarga selain pemandangannya juga menarik terletak di tepian sungai Muar.

“Jadi, kerana kelebihan itu kami bercadang untuk indahkan Taman Awam sebagai satu lagi nilai tambah selain beriadah di air terjun Gunung Ledang,” katanya.

Beliau berkata, kawasan seluas satu hektar itu akan dilengkapi kemudahan taman permainan, promenade, anjung dan tembok sejarah.

Sumber: Sinar Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: