Longhi Gembira JDT Kukuh Kedudukan
KUANTAN: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi memuji komitmen anak buahnya yang berjaya meraih tiga mata selepas menewaskan Pahang 2-1, malam tadi.
Longhi berkata, kemenangan itu bukan saja memberi semangat kepada skuad Harimau Selatan itu, malah mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super.
“Bagi saya, menang ke atas Pahang begitu bermakna kerana lawan memberi saingan sengit dan bermain pantas untuk menyekat kami daripada meraih mata.
“Pahang sebuah pasukan yang mantap seperti ditunjukkan beberapa pemain seperti Mohamadou Sumerah, Mohd Faisal Halim dan Norshahrul Idlan Talaha.
“Tapi, kami berjaya mengawal permainan dan turut memiliki empat peluang menambah jaringan,” kata jurulatih berasal dari Argentina itu.
Pada perlawanan itu, dua gol JDT, masing-masing dijaringkan Fernando Marquez dan Gonzalo Giordano pada minit ke-32 dan 90 manakala tunggal tunggal Pahang dijaringkan Issey Nakajima pada minit ke-84.
Dalam perkembangan berkaitan, Longhi mengesahkan skuad itu akan kembali menjalani latihan pada hari raya kedua.
“Saya harap mereka akan kembali dengan penuh bersemangat selepas meraikan Aidilfitri untuk meletakkan JDT pada kedudukan lebih selesa di persada liga,” katanya.
Selepas 15 perlawanan, Harimau Selatan kekal di takhta liga dengan mengutip 38 mata dan pencabar terdekat, Perak di tangga kedua dengan 27 mata.
Sumber: Berita Harian