Murid SJKT Masai Harumkan Nama Negara
JOHOR BAHRU: Seramai 11 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Masai menang tempat ketiga Pertandingan Drama Bahasa Inggeris Antarabangsa di Hong Kong, baru-baru ini.
Pelatih kumpulan daripada Jabatan Kebudayaan Negeri Johor (JKKN), Othman Ahmad, berkata kumpulan murid berkenaan mempersembahkan kisah Ramayana bertajuk ‘Gold Man’ yang menerapkan elemen Jawa.
Menurutnya, pertandingan dianjurkan sebuah syarikat drama teater Inggeris di Hong Kong yang juga institusi mengajar pendidikan drama dalam pendidikan.
“Pertandingan diadakan di Kow Loon, Hong Kong pada 25 dan 26 Mei lalu itu turut menerima 40 penyertaan dari China, Macau, Taiwan, India dan beberapa negara lain selagi Malaysia,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Othman berkata, SJKT Masai terpilih ke pusingan akhir pertandingan di Hong Kong selepas menghantar rakaman drama dalam format video kepada penganjur.
Pada pusingan akhir, katanya, murid perlu mempersembahkan drama secara langsung selama 15 minit kepada juri dan penonton dalam pertandingan tiga kategori merangkumi tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah itu.
Katanya, kumpulan murid ditemani guru pembimbing, R Khasturi dan beberapa guru SJKT Masai itu turut menerima anugerah kostum terbaik.
“Kemenangan itu adalah berkat latihan yang diadakan sejak Januari hingga Mei lalu, selain sokongan ibu bapa dan guru,” katanya.
Menurutnya, Creative Primary School Hong Kong, muncul juara manakala St John The Baptist Catholic Primary School, Hong Kong menang tempat kedua.
Sumber: Berita Harian