Sumber Rezeki Dari Hutan
Pulut periuk kera yang sinonim dengan musim perayaan di daerah ini semakin mendapat tempat di hati masyarakat apabila terdapat permintaan yang tinggi terhadap tumbuhan karnivor yang tumbuh meliar itu.
Bagaimanapun, periuk kera yang tumbuh meliar di kawasan lembap serta terbuka dan mudah didapati di sekitar daerah ini suatu ketika dahulu kini semakin sukar didapati dan pupus disebabkan kerakusan pihak tertentu yang merosakkan habitatnya.
Bagaimanapun periuk kera membantu, Zahari Othman, 59, di Pekan Air Panas, di sini, menambah pendapatan keluarga sepanjang Ramadan yang lalu dan Aidilfitri ini.
Zahari berkata, dia juga tidak menyangka hasratnya untuk membantu rakan- rakan serta penduduk kampung mendapatkan periuk kera sambil mengisi masa terluang selepas bersara lima tahun lalu kini mampu memberikannya pulangan lumayan.
Menurutnya, pada peringkat awal dahulu dia hanya mengambil bekalan periuk kera dari Chini, Pahang setiap kali menjelang hari raya sama ada Aidilfitri atau Aidiladha untuk dijual semula kepada rakan-rakan sekampung.
“Sejak beberapa tahun lalu, permintaan terhadap periuk kera semakin bertambah dan tidak terhad menjelang musim perayaan saja, malah sejak dua tahun kebelakangan ini permintaan terhadap periuk kera ini boleh dikatakan sepanjang tahun.
“Sejak dua tahun lalu, saya mendapat permintaan daripada peniaga di seluruh semenanjung dan mampu membekal sekitar 60,000 biji kelongsong periuk kera kepada pelanggan setiap bulan dengan harga 25 sen sebiji,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Permintaan tiga kali ganda di musim perayaan
Zahari berkata, permintaan terhadap periuk kera kebiasaannya akan meningkat sehingga tiga kali ganda menjelang musim perayaan berbanding bulan-bulan biasa dan permintaan datang daripada peminat juadah tradisional tersebut dari seluruh negara.
Menurutnya, selain pelanggan datang mengambil sendiri bekalan periuk kera, dia juga menggunakan perkhidmatan pos laju untuk menghantar tempahan kepada pelanggan yang tidak dapat mengambil sendiri bekalan tersebut.
“Bagi memastikan bekalan periuk kera ini sentiasa mencukupi, saya upah seramai 12 Orang Asli di Chini untuk kutip periuk kera di hutan dan akan mengambil bekalan setiap dua hari sekali.
“Namun bukan semua periuk kera yang saya bawa pulang boleh dijual, sebaliknya kira-kira 15 hingga 20 peratus tidak boleh digunakan sama ada rosak seperti terkoyak atau bersaiz terlalu kecil,” katanya.
Zahari berkata, dia juga turut mengupah enam orang penduduk kampung untuk memilih serta mengasingkan periuk kera mengikut saiz iaitu kecil, sederhana dan besar mengikut kehendak pelanggan.
Menurutnya, dia turut mengakui bahawa penggemar pulut periuk kera ini juga mungkin tidak akan dapat menikmati hidangan eksotik tersebut dalam masa beberapa tahun akan datang disebabkan masalah kepupusan ini.
“Sekitar tahun 1970an, periuk kera ini mudah didapati di sekitar kebun penduduk kampung di sini dan kami tidak perlu bersusah payah untuk masuk ke dalam hutan atau kawasan berpaya seperti sekarang.
“Memandangkan periuk kera semakin sukar diperoleh dan kawasan pencariannya juga semakin jauh ke dalam hutan, saya juga pernah beberapa kali mencuba mengambil potongan pokoknya untuk ditanam, namun sehingga kini masih belum berjaya,” katanya.
Menurutnya, kerja-kerja memetik dan mengumpul kelongsong periuk kera juga tidak semudah yang disangka kerana dia perlu memilih kelongsong yang betul-betul matang dan berusia satu tahun ke atas sahaja.
Selain itu, akar dan pokok periuk kera tidak boleh dipotong bagi memastikan kelangsungannya untuk masa akan datang dan perlu dipetik menggunakan jari dan bukannya menggunakan pisau atau gunting.
“Untuk memastikan periuk kera tidak mudah layu dan boleh bertahan sehingga dua minggu, saya perlu memastikan air yang terdapat dapat di dalamnya tidak dibuang sebelum sampai ke rumah selain perlu disimpan di kawasan yang dingin dan sejuk.
“Memandangkan kelongsong periuk kera ini rapuh dan mudah pecah, proses mengumpul dan memunggahnya dari kawasan hutan ke kereta juga perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikannya tidak rosak sebelum diserahkan kepada pelanggan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian