Helang Merah tumbang di Darul Aman
ALOR SETAR: Kedah terpaksa akur dengan aura juara Liga Super lima kali berturut turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila tumbang 1-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Skuad Helang Merah bermula garang, apabila melakukan percubaan seawal minit keempat melalui gerakan pantas Andik Vermanshah, namun hantarannya ke depan pintu gol gagal disambar Baddrol Bakhtiar.
JDT bangkit melalui dua percubaan Safawi Rasid dan Fernando Gaston, namun pelawat hanya berjaya memecah kebuntuan jaringan hasil sentuhan pemain tengah, Gonzalo Cabrera pada minit ke-21.
Cabrera yang menerima hantaran Fernando Andres bijak menewaskan penjaga gawang Kedah, Ramdhan Hamid.
Andres sekali lagi mencipta gerakan gol untuk terus menghukum tuan rumah apabila hantarannya disempurnakan pemain sayap, Azrif Nasrulhaq menerusi tandukan untuk gol kedua JDT pada minit ke-38.
Di babak kedua, Kedah memperolehi peluang terbaik apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-64, selepas Rizal Ghazali dijatuhkan Corbin Ong, tetapi sepakan Paolo Rangel diselamatkan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.
JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Corbin dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua.
Berselang lima minit selepas itu, lampu limpah di Stadium Darul Aman terpadam menyebabkan perlawanan terhenti selama 18 minit.
Selepas aksi kembali bersambung, Kedah sekali lagi mendapat sepakan penalti apabila Paolo Rangel dijatuhkan pada minit ke-78. Kali ini, Sandro Da Silva yang mengambil sepakan berjaya menghasilkan gol tuan rumah.
Keadaan menjadi sedikit tegang apabila Paolo Rangel turut dikenakan kad merah oleh pengadil perlawanan, Amirul Izwan selepas mengasari Farizal Marlias.
Kedua-dua pasukan yang beraksi dengan 10 pemain terus gagal menambah jaringan sehingga tamat perlawanan.
Sumber: Berita Harian