Aildil

Aidil harap ‘adik’ tak gentar

KUALA LUMPUR: Pemain senior, Aidil Zafuan Abd Radzak percaya skuad bawah 23 (B-23) tahun negara tidak perlu gentar untuk mengharungi kempen Sukan Asia Jakarta-Palembang meskipun misi mereka untuk melepasi halangan peringkat kumpulan semakin sukar dengan kehadiran pencabar Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dia yang dipanggil jurulatih Datuk Ong Kim Swee untuk melengkapkan kuota tiga pemain lebih umur pada temasya sukan terbesar Asia itu kali ini bersedia menggunakan segala pengalaman bagi membantu pasukan.

“Ini satu penghargaan buat saya apabila dipanggil untuk kali kedua di Sukan Asia, jadi saya berharap dapat menggunakan segala pengalaman yang ada untuk membantu pasukan kerana pasukan ini ramai pemain muda.

“Kita ada barisan pemain muda terbaik ketika ini, kita boleh beri saingan dengan syarat semua pemain memberikan komitmen kerana kita jangan pergi ke sana sekadar pelengkap jadual, tapi pergi untuk beri tentangan hebat,” kata Aidil yang kini beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selain Aidil, 30, dua lagi pemain senior yang diberi kepercayaan Kim Swee adalah Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali dari Kedah.

Ini kali kedua pemain pertahanan tengah itu beraksi sebagai pemain lebih umur bersama skuad B-23 di Sukan Asia selepas Incheon, Korea Selatan, empat tahun lalu di mana dia menjaringkan satu gol ketika menewaskan Laos 4-0 namun tetap tersingkir apabila menamatkan saingan Kumpulan A di tangga ketiga di belakang Korea Selatan dan Arab Saudi.

Kali ini, ujian lebih mencabar buat Malaysia untuk mara ke suku akhir apabila mereka terpaksa berdepan UAE sebagai pasukan baharu dalam Kumpulan E selepas undian semula semalam selain juara bertahan Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain.

Malah pasukan pilihan, Korea Selatan serius untuk mempertahankan kejuaraan dengan menurunkan penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-Min dan pemain terbaik ketika menyingkirkan juara bertahan Jerman di Piala Dunia Russia iaitu penjaga gol, Cho Hyun-woo dalam skuad mereka.

“Sukan Asia pentas yang besar kerana banyak pasukan bagus. Apa yang kita tahu ada pasukan yang guna pemain yang beraksi di Piala Dunia. Kalau diberi peluang untuk mengawal Son (Heung-min), saya akan cuba buat yang terbaik. Kita lihat nanti taktikal yang akan digunakan oleh jurulatih.

“Tapi ini adalah bola sepak, apa saja boleh berlaku, kita tak perlu takut. Kalau Korea Selatan boleh kejutkan Jerman, kita boleh ambil semangat itu untuk buat kejutan,” kata Aidil.

Sumber: Berita Harian

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: