Anak Bakal Masuk Darjah Satu Tahun Depan? Ini 10 Tip Penting Kita Perlu Tahu
PASTI anda antara ibu bapa yang akan teruja bila anak masuk darjah satu pada sesi persekolahan 2019 nanti. Jadi, tinggal beberapa bulan lagi ini. Bagus jika ibu ayah meluangkan sedikit masa dengan anak untuk mengajar dan membuat persiapan sebelum mereka ke sekolah.
Persiapan baju dan perkakas sekolah ke? Ya, memang itu penting. Tapi ada yang lagi penting ingin kami kupaskan hari ini. Okey, jom baca lanjut di bawah ini.
10 PERSIAPAN UNTUK ANAK DARJAH SATU
1. PASTIKAN ANAK KENAL HURUF DAN TAHU MENGEJA WALAUPUN SEDIKIT
Sebelum anak masuk darjah satu, pastikan dia tahu membaca dan mengeja walaupun sedikit. Selain itu, pastikan anak anda faham operasi asas matematik seperti tambah tolak. Kalau dia boleh kuasai sikit-sikit, itu lebih baik.
Hal ini kerana, silibus sekolah rendah semakin lama semakin susah. Jadi murid yang masuk dengan ‘zero’ pengetahuan mungkin akan ketinggalan ke belakang.
2. BIMBING ANAK DI RUMAH
Bimbingan ibu bapa di rumah sangat penting. Walaupun anak sudah tahu asas membaca dan mengira, namun jika tidak dibimbing dengan baik, mereka juga akan ketinggalan ke belakang. Perlu ingat, silibus berat tapi masa singkat. Namun majoriti murid boleh kuasai dengan bimbingan dan bantuan daripada ibu bapanya di rumah.
3. AJAR ANAK KENAL DUIT
- Ajar anak jangan bagi duit pada kawan duit yang anda bagi untuk dia berbelanja di sekolah.
- Ajar anak untuk beritahu jika ada kawan yang meminta duit daripadanya
- Ajar anak guna duit dengan baik dan tunggu hingga baki dipulangkan.
4. AJAR ANAK GUNA TANDAS DENGAN BETUL
Ada banyak perkara yang perlu dibimbing ibu bapa kepada anak yang baru masuk darjah satu. Salah satunya adalah cara menggunakan tandas dengan betul. Hal ini kerana, terdapat fakta ada anak darjah satu yang berlari bogel untuk ke tandas tanpa rasa malu.
5. JANGAN ASYIK CAKAP “CIKGU GARANG” PADA ANAK
Hal ini kerana ada kejadian di mana anak terkencing dan terberak dalam seluar kerana takut memberitahu cikgu untuk ke tandas. Sebab itu, bila kita selalu sogok dan cakap “cikgu garang”, anak pun rasa takut untuk berhadapan dengan gurunya.
6. MINTA ANAK JAGA BARANG DENGAN BAIK DAN AJAR DIA BERKONGSI
Ajar anak menjaga barang persekolahannya dengan baik seperti warna pensil, alat tulis, buku dan pemadam. Jika ada kawan yang pinjam, minta dipulangkan semula.
Sebabnya, ada murid yang selalu tertinggal botol air di kantin sekolah hingga terlupa untuk mengambilnya semula. Kemudian ada juga alat tulis yang berterabur jatuh tidak dikutip dalam kelas.
7. ELAK KASUT BERTALI DAN AJAR PAKAI TALI PINGGANG
Jangan bagi kasut bertali kalau mereka tak tahu nak ikat. Satu lagi, ajar anak cara-cara nak buka dan pakai tali pinggang. Sebabnya ada pelajar yang terkencing dalam seluar gara-gara tak tahu nak buka tali pinggang itu. Alamak!
8. AJAR SUSUN JADUAL
Ajar anak bawa buku ikut jadual. Barulah beg tak berat sangat. Kalau boleh biar emak yang susun buku anak. Sebab kalau ayah yang buat, semua buku dia letak dalam beg anak. Aduhai!
9. JANGAN WHATSAPP CIKGU TENGAH MALAM
Sekarang ini memang menjadi trend ibu bapa suka berwhatssap untuk berkomunikasi dengan guru kelas anak. Tapi lihat masa yang sesuai baru boleh tanya soalan yang berkaitan dengan aktiviti anak di sekolah. Jangan 12 tengah malam sibuk mesej cikgu itu. Cikgu pun manusia biasa, perlukan rehat tenaga dan fikiran.
Diingatkan juga tidak post benda-benda yang berunsurkan politik, nasihat, kata mutiara atau iklan perniagaan. Cukuplah group whatssap tersebut hanya untuk mengetahui perkembangan terkini anak anda sahaja.
10. JANGAN MERUNGUT
Jangan dipersoalkan dan selalu merungut kenapa silibus makin susah. Sedangkan orang lain yang duduk diam tak merungut, berbagai cara mereka lakukan semata-mata ingin melihat kejayaan anak. Tapi anda yang masih merungut itu membuatkan anak merasakan beban dan menganggap belajar itu payah!