Bebola Cheese

Anak Tak Nak Makan Nasi? Cuba Buat Resipi Bebola Keledek Cheese Mesti Anak Berselera

Puas berkejar dengan anak semata-mata nak suapkan nasi, akhirnya nasi itu ibu yang makan! Menjadi seorang ibu memang mencabar dan perlu ada tahap kesabaran yang tinggi. Lagi-lagi melayan kerenah anak yang tidak mahu makan, lama-lama bimbang dan stress juga dibuatnya kan?

Mana tidaknya, kita mesti risau perut anak kosong dan kelaparan kerana tidak dibekalkan dengan karbohidrat yang tinggi. Tapi, anda perlu tahu bukan nasi saja yang boleh buat perut anak kenyang, menu bebola keledek cheese juga boleh ya!

MENU MUDAH & BERKHASIAT

Menu bebola ini tersangatlah mudah untuk disediakan. Kerangupan salutan serbuk roti pada bebola keledek cheese, rasanya yang lemak manis dan lembut mampu memikat selera anak anda. Selain itu, ubi keledek ini mempunyai khasiatnya yang tersendiri.

Menurut Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Tanaman dan Tanah, Institut Penyelidikan dan Kemajuan pertanian Malaysia (MARDI), Nurul Afza Karim;

“Ubi keledek boleh didapati dalam pelbagai warna seperti kuning, oren dan ungu dan mempunyai khasiat yang tersendiri.” “Ubi keledek berisi oren didapati mengandungi beta-kerotin, manakala isi ungu pula kaya dengan bahan antioksida dan antosianin yang dapat melindungi kerosakan DNA, membantu mengurangkan perkembangan sel kanser, menstabilkan penyakit kencing manis serta meningkatkan daya ingatan.”

Untuk menu bebola ini, kita menggunakan ubi keledek yang berwarna oren. Tapi, boleh saja jika anda nak guna jenis ubi keledek yang berwarna lain. Sama saja khasiatnya!

CARA MEMBUATNYA

Untuk pengetahuan anda, resipi bebola keledek cheese ini dikongsikan oleh Puan Mariatun Bibi di laman Facebooknya. Dia juga menyediakan menu ini untuk anak-anaknya yang susah nak makan nasi.

Resipi ini memerlukan bahan-bahan seperti berikut:

  • Ubi keledek
  • Tepung gandum
  • Cheese
  • Serbuk roti
  • Minyak masak

1. Rebus ubi keledek sehingga empuk, biarkan sejuk seketika. Apabila dah sejuk, masukkan tepung gandum dan uli. Kuantiti tepung gandum ikut pada sukatan anda sendiri dan uli sehingga adunan tidak melekat pada tangan.

2. Bulat-bulatkan cheese macam dalam gambar. Kalau anda tak nak letak keju pun boleh, nak gantikan dengan kepingan sosej juga boleh ya.

3. Kemudian, ambil sedikit adunan yang dah diuli tadi, penyek-penyekkan dan boleh isikan cheese pada bahagian tengah, balut dan bulatkan menjadi bebola. Buat sehingga adunan habis.

4. Selepas itu, salutkan bebola dengan serbuk roti. Panaskan minyak dan boleh digoreng sehingga garing dan masak.

Mudah sahaja kan? Yang penting, anda sebagai ibu kena kreatif mencari alternatif untuk galakkan anak sentiasa berselera untuk menikmati apa sahaja hidangan. Selamat mencuba!

Apa pandangan anda dengan artikel ini? Komen di bawah: