Ayam Jantan Berkokok 200 Kali Sehari, Pasangan Suami Isteri Failkan Saman
Akibat tidak tahan mendengar bunyi ayam jantan peliharaan jiran berkokok sehingga 200 kali sehari, sepasang suami isteri di Bad Salzuflen, barat Jerman telah memfailkan kes mahkamah ke atas jiran mereka, seperti dilaporkan berita Kosmo semalam.
Pasangan bernama Friedrich-Wilhelm, 76, dan isterinya, Jutta mendakwa bahawa mereka tidak dapat berehat dengan tenang sejak sekian lama disebabkan bunyi bising ayam jantan bernama Magda itu.
JIRAN SAMAN AYAM JANTAN BERKOKOK 200 KALI SEHARI
Gambar: Friedrich dan Jutta mengambil tindakan itu selepas sudah tidak tahan mendengar bunyi kokokan Magda dan gagal mencari penyelesaian dengan jiran mereka. – Facebook
Berdasarkan laporan berita Oddity Central kelmarin, ia mula berkokok sekitar pukul 8 pagi (waktu tempatan) setiap hari dan tidak berhenti berbunyi sehingga waktu senja apabila pemiliknya mengurung haiwan itu bersama ayam-ayam lain.
Difahamkan, selepas beberapa tahun cuba berunding dengan jiran mereka mengenai perkara itu, Friedrich dan Jutta akhirnya membuat keputusan membawa perkara itu ke mahkamah.
“Jiran kami enggan beralah mengenai isu ini dan kami mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan kehidupan seperti itu atau menang dalam perbicaraan.
“Kami tidak boleh menggunakan kawasan taman dan tidak boleh membuka tingkap. Kami sudah tidak tahan lagi,” kata Friedrich.
PASANGAN ITU TURUT MERAKAM BUNYI KOKOKAN MAGDA SEBAGAI BUKTI
Gambar: Ayam jantan bernama Magda yang didakwa berkokok sehingga 200 kali sehari telah mengganggu kenteraman di kejiranan.
Bahkan, Friedrich dan Jutta juga dilaporkan telah merakam bunyi kokokan haiwan itu sebagai bukti mahkamah.
Menurut peguam mereka, Torsten Gieseke, ayam jantan terlebih aktif seperti Magda tidak boleh berada di kawasan perumahan yang tenang sambil menambah, seorang lagi jiran terpaksa berpindah dua tahun lalu kerana tidak tahan dengan bunyi bising Magda.
Bunyi kokokan Magda juga turut diukur sekuat 80 desibel, bersamaan dengan bunyi bising restoran yang dipenuhi pengunjung atau jalan raya dengan kesesakan lalu lintas.
Hakim Mahkamah Daerah Lemgo dijadualkan mendengar kes itu tidak lama lagi.
Sumber: Kosmo