Tip Bina Hubungan Baik Dengan Pengasuh Yang Ramai Mak Ayah Tak Ambil Peduli
Bagi mak ayah yang bekerja, menghantar anak kepada pengasuh atau nurseri merupakan salah satu keperluan, lebih-lebih lagi jika tiada pembantu rumah.
Adalah sangat penting bagi mak ayah untuk membina hubungan baik dengan pengasuh bagi anak-anak. Ini kerana ditempat ini lah, anak-anak lebih banyak meluangkan masa, serta salah satu ‘penghargaan’ terima kasih buat para pengasuh kerana sudi menjaga dan tengok-tengokkan anak kita sewaktu kita sedang bekerja.
Sebelum menghantar anak pada pengasuh, mohon fahamkan dulu 7 perkara asas ini yang ramai mak ayah terlepas pandang. Berikut antara tip-tip yang dikongsikan oleh Puan Nur Baizura Sulaiman, semoga menjadi panduan buat mak ayah semua.
Kita ni ibu bapa yang bekerja, hampir 10 jam atau lebih anak-anak kita tinggal dengan pengasuh atau di nurseri. Di sinilah tempat mereka dilindungi dan dikasihi. Mak saya sudah hampir 20 tahun mengasuh anak-anak sampai sekarang. Saya membesar dengan mereka, sampai saya tahu tukar lampin, bagi susu dan tidurkan bayi seawal usia saya 12 tahun.
Saya lihat, bagaimana mak saya disantuni oleh ibu ayah yang menghantar anak-anak mereka dan saya cuba praktikkan sekarang kepada pengasuh anak-anak saya.
Di sini saya kongsikan 7 tips bina hubungan dengan pengasuh. Kalau ada yang boleh anda praktikkan pada guru-guru di nurseri, bolehlah anda cuba.
1. Kelengkapan
Sediakanlah kelengkapan sepenuhnya seperti pakaian, minyak angin, susu, botol susu dan lain-lain. Pakaian misalnya, asingkanlah untuk dipakai siang dan malam. Lipat pakaian berpasangan siap baju dan seluar supaya pengasuh tidak perlu ambil masa untuk suai padan. Suai padan ni sangat sakit kepala ya.
2. Makanan
Jika anak sudah mula makan, buatlah puree atau bubur untuk dibekalkan pada pengasuh supaya pengasuh tak perlu masak asing untuk anak kita. Kalau anak kita ada alahan pun, tak timbul masalah. Sebab kita sudah maklum dan pengasuh hanya perlu berikan makanan pada anak kita. Kalau pengasuh sedia masak untuk anak kita, moleklah kiranya kita belikan makanan mentah seperti ayam, ikan, sayur dan beras. Moga-moga dia masak dengan gembira dan doa untuk anak kita, kita pun tenang bekerja.
3. Pengendalian Susu Ibu
Nak bagi mudah, berikan susu ibu yang cair dan beku. Buat label supaya pengasuh boleh beri ikut turutan. Elok juga sediakan pemanas elektrik supaya pengasuh tak perlu panaskan guna air panas yang mungkin suhunya tak sesuai. Lebih baik jika bekalkan susu ibu dalam botol berbanding plastik. Ikut pengalaman saya, sudah banyak kali susu dalam plastik bocor, maka susu tak dapat diminum.
4. Rezeki Kita Kongsilah Bersama
Bagi saya, pengasuh sudah seperti ahli keluarga sendiri. Kadang-kadang saya pun tak perasan perkembangan anak-anak saya, sampailah pengasuh yang bercerita. Saya tahu, walau dengan apa pun tetap tak dapat balas jasa mereka. Jadi apa salahnya, pada hari lahir, hari raya, atau dapat bonus, kita kongsikan rezeki dengan mereka.
Terpulanglah apa yang kita mampu, sedikit dikongsi, banyak dirai. Masa saya kecil dulu, kalau ada hari pasar malam, mak saya kadang-kadang dapat roti john. Kalian tahukah, kami adik beradik gembira bukan kepalang. Asyik betul dapat roti john RM3 tu. Lihatlah, harga bukan ukuran, tapi nilai kasih yang dibina lebih bermakna.
5. Beritahu Pengasuh Tentang Situasi Kita
Sama ada kita nak hantar anak awal atau lambat, beritahu pengasuh. Sama juga kalau kita terpaksa pulang lewat, beritahu pengasuh keadaan kita supaya mereka tidak tertunggu-tunggu. Kita manalah tahu kalau-kalau mereka perlu ke kedai atau mahu berjemaah Maghrib di surau. Kalau dah diberitahu, bolehlah mereka rancang jadual mereka. Iya, seperti kita, mereka juga perlukan ‘me time’.
6. Kebersihan Dan Kekemasan
Kalau kita hantar anak pukul 7 ke atas, lebih elok kita mandikan siap-siap. Kalau tak sempat, seeloknya tukarkan lampin. Aduh. Lampin yang bocor boleh mengganggu mood pengasuh ya. Sudah elok dia bersihkan diri nak sambut anak kita, kita pula tambah kotor pada dia.
Bab kekemasan ini lebih kepada rambut anak. Ada anak yang rambutnya sampai tutup mata. Kalau nak makan, kasihan betul saya lihat. Sekejap-sekejap ketepikan rambut. Nak menyisir rambutnya tu, asyik aja tersekat di skala 6. Alahai. Kalau jaga 6 orang dan kesemua 6 anak pun rambutnya tersekat di skala 6, entah bila boleh siap didandan ya.
7. Doa
Mohon pada Allah agar anak-anak kita sentiasa dalam peliharaanNya. Anak-anak saya dihantar kepada pengasuh sebaik sahaja cuti bersalin saya habis. Ya, mereka masih bayi tapi saya setiap hari pesan supaya elok-elok dan dengar cakap pengasuh. Saya beritahu, kalau kita baik, semua orang sayangkan kita. Saya juga bacakan surah al Insyirah pada mereka, bagi mereka dengar, dengan niat hati mereka lembut dan mudah untuk pengasuh jaga mereka. Selebihnya, kita berserah pada Allah sebab Dialah yang Maha Berkuasa atas tiap sesuatu.
Mama Aisyah dan Ahmad.
Yang masih banyak perlu dibaiki.
Semoga bermanfaat!